Kompleks baharu JPJ Negeri Sembilan dibina di Senawang tahun depan

Kompleks baharu JPJ Negeri Sembilan dibina di Senawang tahun depan

ANTHONY Loke diiringi Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Aedy Fadly Ramli bergambar di hadapan bangunan Pejabat JPJ Cawangan Nilai. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah kompleks baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan akan dibina di Senawang di sini bagi menggantikan ibu pejabat negeri sedia ada.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek pembinaan kompleks baru itu dijadual bermula tahun depan dengan kos siling kira-kira RM140 juta bagi meningkatkan keselesaan pelanggan.

Menurutnya, bangunan ibu pejabat JPJ Negeri Sembilan yang digunakan ketika ini telah berusia lebih 40 tahun dan tidak lagi memenuhi keperluan semasa.

“Kita juga mahu pejabat JPJ mempunyai imej lebih korporat seperti yang terdapat di bank dan syarikat telekomunikasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pejabat JPJ Cawangan Nilai di sini hari ini.

Katanya, bangunan ibu pejabat sedia ada akan dirobohkan pada awal tahun depan sebelum operasinya dipindahkan sementara ke Era Walk, Seremban selama kira-kira tiga tahun.

Dalam perkembangan sama, Loke berkata, agensi tersebut sedang meneliti cadangan membina semula pejabatnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur menerusi kerjasama awam-swasta.

“Nilai tanah di Wangsa Maju kini meningkat berkali ganda berbanding ketika bangunan itu dibina dahulu. Kita boleh mempertimbangkan usaha sama dengan sektor swasta supaya kos pembinaan kompleks baharu dapat ditanggung pihak terlibat,” katanya.

Mengenai pembukaan cawangan JPJ Nilai, beliau berkata, langkah itu diambil berikutan pertumbuhan pesat kawasan berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang memberi manfaat kepada penduduk di Bandar Baru Bangi, Sepang, Salak Tinggi, Sendayan, Putra Mahkota, Labu dan kawasan sekitarnya untuk mendapatkan perkhidmatan JPJ.

Beliau berkata, JPJ memilih untuk menyewa premis milik Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang diubah suai dalam tempoh enam bulan dengan kos RM1.7 juta berbanding membina bangunan baharu.

Tambahnya, cawangan yang mula beroperasi pada 8 Jun lalu itu dijangka mampu memberi perkhidmatan kepada kira-kira 120,000 penduduk di Nilai dan kawasan berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN