PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam fasa terakhir menyelesaikan beberapa isu dan kekangan termasuk halangan birokrasi yang menghalang usaha untuk melahirkan lebih ramai doktor pakar baharu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya mengakui wujud birokrasi dalam isu berkenaan namun, ia sedang diatasi termasuk mengiktiraf latihan dan pengalaman dilalui pengamal perubatan awam.
Beliau berkata, antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan termasuk mengambil kira tempoh Supervised Work Experience (SWE) sebagai sebahagian daripada syarat latihan kepakaran dan subkepakaran.
“Sebelum ini, mereka yang mengikuti SWE selama kira-kira enam bulan tidak diambil kira, tetapi hari ini tempoh itu sudah diiktiraf sebagai sebahagian daripada laluan untuk mendapatkan subkepakaran.
“Sekiranya terdapat halangan atau kekangan yang bersifat birokratik, kita akan tangani perkara,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman bagi pembinaan Klinik Kesihatan Bakun-Murum di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mendakwa Malaysia berisiko kehilangan lebih ramai doktor pakar susulan syarat baharu dikenakan KKM menerusi Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) bagi pengambilan sesi 2026/2027.
Katanya, sebelum ini, proses kemajuan kerjaya doktor terikat dengan syarat-syarat tertentu termasuk LNPT namun, kini KKM sudah membuat penambahbaikan dengan mengiktiraf tempoh SWE sebagai sebahagian daripada latihan kepakaran atau subkepakaran.
Bagaimanapun, Dr Dzulkefly berkata,
penambahan pakar dalam sektor awam perlu dilakukan secara berperingkat dan berterusan kerana ia mesti selari dengan pembangunan kemudahan serta infrastruktur kesihatan.
“Kita sentiasa menyelaraskan perancangan tenaga pakar dengan pembangunan hospital dan fasiliti kesihatan yang dirancang untuk beberapa tahun akan datang.
“Sebab itu penambahan pakar tidak boleh dilakukan secara mendadak, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan keperluan fasiliti dan perkhidmatan,” katanya.
Beliau mengakui kekurangan doktor pakar masih wujud, namun KKM ketika ini menggunakan pendekatan sementara yang dikenali sebagai Sistem Pengurusan Krisis Kluster bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.
Menurutnya, sistem itu membolehkan tenaga kerja dan sumber dari fasiliti berdekatan digerakkan untuk membantu hospital yang berdepan kekurangan kakitangan.
“Kita melibatkan hospital dalam kluster yang sama, klinik kesihatan dan fasiliti berhampiran untuk membantu hospital yang mengalami kekurangan.
“Pergerakan doktor pakar, jururawat dan tenaga kerja lain boleh dilakukan mengikut keperluan semasa bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terus berjalan tanpa gangguan,” katanya.-UTUSAN










