11 anggota polis cedera dalam tiga serangan bom di Selatan Thai

11 anggota polis cedera dalam tiga serangan bom di Selatan Thai

PASUKAN keselamatan menghalang lalu lintas di hadapan sebuah sekolah di Mukim Ban Haeng, Daerah Thanto, Yala, Thailand pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YALA (THAILAND): Sekurang-kurangnya 11 anggota polis cedera dalam tiga insiden serangan menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) yang menyasarkan pasukan keselamatan di Wilayah Yala dan Pattani, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 pagi, enam anggota Polis Peronda Sempadan Kompeni 442 cedera apabila IED diletupkan ketika mereka sedang bertugas mengawal keselamatan murid dan guru sebuah sekolah di Daerah Thanto, di sini.

Dua daripada anggota terbabit, Sarjan Prabhat Wongruaydee dan Sarjan Kittisak Saksaeng, cedera parah manakala empat lagi iaitu Sarjan Narongsak Chotiphant, Sarjan Narathip Nilsuwan, Sarjan Sakchai Kaewnoon dan Sarjan Wikrom Laley mengalami kecederaan ringan.

Timbalan Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), Kolonel Ekwarit Chobchuphon berkata, kejadian di hadapan Sekolah Rendah Ban Lae di Ban Puluh Saniya, Mukim Ban Haeng, Thanto itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dalam kalangan orang awam atau pelajar.

“Pada masa ini, pasukan keselamatan telah menyekat laluan ke kawasan itu bagi membolehkan unit pemusnah bom dan pasukan forensik mengumpul bukti di tempat kejadian.

“Siasatan awal menunjukkan serangan itu dilakukan satu unit operasi kumpulan pemisah bertujuan menjejaskan keamanan dan menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ekwarit memberitahu, kejadian itu merupakan insiden kedua dalam tempoh kurang dua minggu membabitkan serangan terhadap pasukan keselamatan yang mengawal keselamatan murid dan guru sekolah di Wilayah Yala.

Sementara itu, satu lagi cubaan serangan dilaporkan berlaku di Narathiwat apabila kumpulan pemisah dipercayai meletakkan IED di bawah sebuah pikap polis yang diparkir di hadapan Masjid Buketa, Mukim Lo Chut, Daerah Waeng ketika orang ramai bersiap untuk menunaikan solat Jumaat.

Menurut Ekwarit, anggota polis terbabit meletakkan kenderaan itu di lokasi berkenaan kira-kira pukul 1.10 tengah hari sebelum beberapa penduduk melihat dua lelaki muda melekatkan objek mencurigakan pada bahagian bawah pikap berkenaan.

“Penduduk memaklumkan kepada polis, yang kemudian mengepung kawasan itu dan melakukan pemeriksaan jarak jauh.

“Ketika anggota polis melakukan pemeriksaan, satu letupan kuat berlaku, namun tiada kecederaan atau kematian dilaporkan,” katanya.

Susulan tiga kejadian itu, pasukan keselamatan di tiga wilayah sempadan selatan Thailand diarah meningkatkan kawalan dan pemeriksaan bagi menghalang insiden serupa daripada berulang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN