111 pelabur saman syarikat, dua pengarah

111 pelabur saman syarikat, dua pengarah

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 111 orang pelabur memfailkan saman terhadap sebuah syarikat pelaburan dan dua pengarahnya kerana gagal memulangkan modal pelaburan berjumlah RM20.5 juta.

Saman itu difailkan oleh para pelabur yang berusia antara 28 dan 89 tahun pada 3 April lalu melalui firma guaman, Tetuan Azri & Co. di Mahkamah Tinggi di sini.

Kesemua pelabur selaku plaintif menamakan syarikat QEW Group Berhad serta dua pengarahnya, Datuk Dr. Muhamad Iqbal Mohamad dan Mohd Fairoz Muhammed selaku defendan.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa antara tahun 2022 hingga 2024, mereka dipengaruhi dan didorong oleh defendan untuk melabur dan melanggan dalam skim pelaburan patuh syariah, Skim Pelaburan RPS-i yang ditawarkan, dipromosikan, dipasarkan dan diuruskan defendan.

Menurut dokumen, pelabur paling tua iaitu seorang wanita berusia 89 tahun membuat pelaburan sebanyak RM100,000 manakala yang paling muda berusia 28 tahun dengan modal berjumlah RM50,000.

Mereka mendakwa, sebelum menyertai skim itu, QEW melalui wakilnya iaitu Muhamad Iqbal dan Mohd. Fairoz membuat representasi material mengenai struktur skim, mekanisme pembayaran dividen, jaminan pemeliharaan modal dan pematuhan kepada prinsip syariah.

Menurut plaintif, defendan membuat representasi secara nyata atau tersirat bahawa skim itu terstruktur dengan baik, selamat, dipantau menurut prinsip syariah dan akan menghasilkan dividen bulanan yang konsisten serta modal pelaburan mereka akan selamat.

“Selain itu, defendan turut merepresentasikan bahawa syarikat Tawafuq Consultancy Sdn. Bhd. dilantik sebagai ejen dan penasihat syariah bagi pentadbiran dan operasi skim pelaburan berkenaan.

“Defendan juga menyatakan bahawa skim pelaburan itu tidak berasaskan konsep Musharakah atau Mudharabah. Oleh itu, tiada sebarang elemen perkongsian kerugian atau risiko yang perlu ditanggung di bawah skim berkenaan.

“Kami menyatakan disebabkan representasi diberikan defendan maka kami bersetuju untuk melabur di dalam skim pelaburan itu dan membuat pembayaran modal pelaburan kepada defendan pertama mengikut jumlah pelaburan masing-masing,” kata plaintif.

Plaintif berkata, pada awalnya pembayaran dividen dibuat seperti yang dijanjikan, bagaimanapun, pada suatu tempoh, QEW mula gagal melaksanakan kewajiban apabila pembayaran dividen yang dijanjikan ditangguhkan, dikurangkan dan seterusnya dihentikan sepenuhnya.

Kata plaintif, apabila dipersoalkan mengenai kegagalan pembayaran dividen, defendan menyatakan bahawa pembayaran adalah tertakluk kepada budi bicara mutlak syarikat, yang mana ia alasan yang tidak pernah dijelaskan secara munasabah atau ditegaskan sebagai risiko utama ketika pelaburan ditawarkan.

Sehubungan itu, plaintif memohon perintah supaya defendan pertama membayar RM20.5 juta kepada mereka dan perisytiharan bahawa defendan kedua dan ketiga bertindak cuai dan melakukan skim penipuan modal pelaburan mereka.

Plaintif juga memohon perintah supaya defendan kedua dan ketiga secara bersama atau berasingan menanggung rugi dan membayar ganti rugi khas juga sebanyak RM20.5 juta kepada mereka akibat kecuaian, representasi palsu dan konspirasi penipuan.

Plaintif juga memohon kesemua defendan membayar ganti rugi am dan ganti rugi teladan dan teruk berjumlah RM1 juta.

Sementara itu, peguam plaintif, Dr. Hizri Hasshan ketika dihubungi media, berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Asmadi Hussin, menetapkan pada 6 Julai ini bagi tarikh pengurusan kes.

Tambahnya, defendan telah memfailkan permohonan bagi memasukkan AUF MBZ Consortium PLT sebagai pihak ketiga defendan dalam tindakan saman itu

AUF MBZ adalah syarikat pelaburan yang diasaskan usahawan Datuk Mahadi Badrul Zaman yang juga suami kepada selebriti Heliza Helmi.

Pada 20 Februari lalu, AUF MBZ didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen manakala Muhamad Iqbal sebagai pengarah QEW Group Bhd didakwa bersubahat dengan syarikat itu untuk melakukan urus niaga terbabit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN