Kesejahteraan anggota ATM, keluarga diberi penekanan

Kesejahteraan anggota ATM, keluarga diberi penekanan

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menandatangani plak ketika merasmikan Kem Segamat Fasa II sambil diperhatikan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman (kiri) sempena Lawatan Kerja ke Rejimen ke-4 Artileri Diraja Kem Segamat disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kementerian Pertahanan terus memperkukuh kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pembangunan infrastruktur ketenteraan moden dan pelbagai inisiatif kebajikan anggota agar dapat melaksana tugas mempertahan negara dengan lebih berkesan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, aspek kesiapsiagaan ATM tidak hanya tertumpu kepada pemilikan aset dan kelengkapan pertahanan, sebaliknya turut melibatkan kesejahteraan anggota serta keluarga mereka.

Katanya, pihaknya prihatin dengan nasib anggota yang berdepan masalah kebajikan seperti perumahan, pendidikan anak-anak dan masa depan selepas persaraan daripada perkhidmatan.

“Dalam soal menjaga pertahanan negara, kita perlu lihat kepada dua perkara utama iaitu aset dan anggota. Kedua-duanya perlu sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

“Namun pada masa sama, kesejahteraan anggota perlu diberi perhatian kerana jika mereka berdepan pelbagai masalah kehidupan, ia boleh menjejaskan tumpuan dan ketenangan ketika menjalankan tugas,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Rejimen ke-4 Artileri DiRaja Kem Segamat, di sini semalam.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral tan Sri Azhan Md. Othman; Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementah, Hassan Nordin dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jenaral Sani S. Omar.

Pada masa sama, Mohamed Khaled memberitahu kerajaan telah memperuntukkan RM259 juta bagi pembangunan Kem Segamat dimana pembinaan fasa kedua selesai akhir tahun lalu.

“Kem ini yang dipindahkan dari Sikamat, Negeri Sembilan ke sini akan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan pertahanan di wilayah selatan tanah air,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu Kementerian Pertahanan telah melaksanakan Program Work Based Learning (WBL) bagi membantu anggota memperoleh pengiktirafan akademik berdasarkan pengalaman dan kemahiran sepanjang tempoh perkhidmatan sebelum bersara.

“Ramai anggota menyertai ATM dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), apabila mereka bersara pada usia awal 40-an, mereka masih mampu menyumbang kepada negara. Melalui WBL, pengalaman dan kemahiran dimiliki akan dinilai sebelum diberi pengiktirafan setaraf diploma tanpa perlu menduduki peperiksaan.

“Untuk itu, kerajaan menanggung kos penilaian sebanyak RM6,500 bagi setiap peserta dengan peruntukan RM10 juta disediakan tahun ini bagi memanfaatkan seramai 1,300 anggota. Kita mahu mereka hidup bermaruah selepas bersara kerana telah banyak berkorban demi negara,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN