KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah meminggirkan hak golongan miskin bandar untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan malah komited memastikan setiap rakyat tanpa mengira latar belakang mendapat peluang memiliki kediaman yang selesa dan kehidupan yang lebih bermaruah.
Menurut Perdana Menteri, pembinaan projek perumahan kekal bagi penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara menjadi contoh dan bukti bagaimana hak penduduk miskin bandar dapat diadili, biarpun mereka perlu menanti lebih 40 tahun untuk mendapatkan penempatan kekal.
“Projek ini tak besar, tetapi kesan daripadai segi sejarah cukup besar. Bukan saja di Malaysia, bayangkan di mana-mana negara, kelompok miskin bandar di rumah panjang begini rupa, berhadapan tekanan perumahan dengan mahligai keliling, dengan hendak jaga hutan, tidak pernah menang (kes di mahkamah) dalam sejarah dunia.
“Alhamdulillah, di sini saudara-saudara menang kerana pertahankan hak dan mengikut undang-undang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal bagi penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
Projek perumahan kekal itu melibatkan pembinaan 200 unit pangsapuri di mana setiap pemilik kediaman asal diberi dua unit yang setiapnya dilengkapi tiga bilik sementara kerja pembinaannya akan dimulai hari ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Dalam majlis sama, Anwar turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi tujuan menampung belanja penyelenggaraan di kediaman terbabit bagi tempoh tiga tahun, sebaik projek itu siap kelak.
Beliau berkata, usaha menyelesaikan isu penempatan bukan mudah kerana ia melibatkan proses perundangan yang panjang.
“Sebelum ini saya tak berani untuk umumkan kerana tunggu proses undang-undang selesai. Maka kita hormat proses undang-undang. Sebaik keputusan dibuat, saya kata kena cari jalan selesai.
“Maka, keputusan dibuat, teliti masalah penduduk, semua itu dirungkai dan akhirnya peranan kita cari bagaimana boleh diselesaikan. Bukan sikit tahun. Bayangkan kalau kita hidup, rumah panjang sudah (berusia) 44 tahun,” katanya. – UTUSAN










