PETALING JAYA: Kerajaan menanggung kira-kira RM30 juta setahun bagi membiayai kos rawatan kesihatan, termasuk perkhidmatan bersalin, melibatkan pelarian etnik Rohingya di hospital kerajaan.
Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, isu Rohingya kini bukan lagi sekadar kemanusiaan, sebaliknya melibatkan keupayaan negara mengurus populasi pelarian yang semakin meningkat.
Beliau berkata, kadar kelahiran yang tinggi dalam kalangan komuniti pelarian menyebabkan tekanan tambahan terhadap kemudahan awam termasuk hospital kerajaan, sekolah dan perkhidmatan sosial.
“Kita lupa, golongan pelarian (Rohingya) ini beranak dekat 10 orang, rakyat Malaysia satu dua sahaja. Jadi di sini orang dah bising dari segi kemudahan hospital, sikap dia sedangkan yang bayar cukai itu kita.
“Ada dalam laporan yang sah mendedahkan, kerajaan menanggung kira-kira RM30 juta setahun untuk urusan beranak, sakit dan rawatan di hospital kerajaan.
“Itu duit siapa? Itu duit cukai rakyat Malaysia. Bila rakyat Malaysia sendiri terpaksa berkongsi kemudahan yang semakin sesak, sudah tentu timbul rasa tidak puas hati.
“Bila rakyat Malaysia nak bersalin, terpaksa berhimpit-himpit dengan mereka (pelarian) memanglah kita marah,” katanya menerusi Siar Audio Bawa Otak topik Rohingya yang disiarkan di Facebook (FB) UKM Pakarunding.
Salawati berkata, kegagalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewujudkan sistem kawalan dan pemantauan yang berkesan terhadap pelarian sejak awal menjadi punca masalah berpanjangan.
“KDN mana pengawalan pelarian? Daftar pengawalan pelarian (DPP) yang ada sekarang ini bukan mekanisme pengawalan. Kita kena ada mekanisme pengawalan dari awal dia masuk, kita nak tempatkan dia di mana?
“Kita nak pastikan, mereka ini anak keluar kan? (beranak pinak) dan kalau mereka tak berpendidikan siapa nak ambil? Itu yang berlambak dekat Malaysia sekarang,” tegasnya.-UTUSAN










