Kerajaan rancang Dasar Air Tebus Guna Nasional urus sumber air 

Kerajaan rancang Dasar Air Tebus Guna Nasional urus sumber air 

FADILLAH Yusof berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi dan Teknologi Digital Dunia ke-5 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dasar Air Tebus Guna Nasional bakal diperkenalkan sebagai kerangka jangka panjang bagi mengurus penggunaan air negara secara lebih cekap. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan sedang merancang dasar itu sebagai langkah daripada tindak balas nasional yang bersepadu bagi menangani cabaran besar dalam sektor tenaga, air, dan infrastruktur digital negara.

Menurutnya, air merupakan komponen yang sangat kritikal dalam ekosistem teknologi memandangkan pusat data merupakan pengguna tegar sumber tersebut bagi tujuan penyejukan sistem.

“Pengurusan sumber air yang cekap melalui dasar reklamasi adalah kunci untuk memastikan kelestarian pelaburan digital tanpa menjejaskan keperluan domestik.

“Malaysia kini menghasilkan 48.5 juta liter sehari air reklamasi dan kita menyasarkan peningkatan kapasiti sehingga 118 juta liter menjelang tahun 2030 untuk kegunaan industri.

“Inisiatif ini bukan satu usaha yang terasing, malah ia membentuk satu respons nasional bersepadu terhadap cabaran yang melibatkan persimpangan tenaga, air dan

infrastruktur digital,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di  Sidang Kemuncak Teknologi dan Ekonomi Digital Dunia Kali Ke-5 di World Trade Centre (WTC), hari ini. 

Menurut Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, satu pasukan petugas (task force) pusat data telah ditubuhkan bagi memantau impak pelaburan tersebut terhadap sumber negara.

Beliau berkata, pasukan petugas yang dipengerusikan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu berperanan menilai jenis pusat data yang mahu dibawa masuk ke Malaysia.

“Dalam task force ini, semua kementerian, agensi yang berkaitan ada. Begitu juga nanti ia akan dibawa ke peringkat negeri. 

“Jadi di peringkat negeri pun akan melihat perkara yang sama untuk kita pastikan apa-apa saja yang datang ke Malaysia mestilah teknologi yang terkini, yang memang diperlukan oleh Malaysia, bukan sekadar data center,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, dasar sedia ada kini mewajibkan perbezaan antara air untuk kegunaan rakyat dan air untuk kegunaan industri.

“Kita nak pastikan nanti air untuk pengguna, dengan air untuk industri. Air pengguna ialah air yang kita rawat. 

“Air untuk industri ialah air yang reklamasi ataupun air yang boleh guna semulalah daripada buangan dan sebagainya. Itu dasar kita,” katanya. 

Dalam pada itu, katanya, pelaksanaan air reklamasi ini sudah pun bermula di beberapa negeri seperti Johor melalui kerjasama antara Indah Water Konsortium (IWK) dan Johor Special Water (JSW) serta sedang diperluas ke Selangor dan Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN