Kedah arah PBT gempur sekolah Rohingya tanpa lesen

Kedah arah PBT gempur sekolah Rohingya tanpa lesen

SEKITAR 40 kanak-kanak Rohingya berusia enam hingga 12 tahun menjalani pembelajaran di sebuah rumah yang dijadikan sekolah di Tongkang Yard, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana sekolah Rohingya yang didapati beroperasi tanpa kebenaran dan lesen sah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, setiap operasi sekolah di negeri ini perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan termasuk mendapat kelulusan penggunaan premis daripada PBT dan Jabatan Pendidikan negeri serta polis. 

“Walaupun premis itu melibatkan kawasan perumahan, pihak terlibat perlu mendapatkan kebenaran PBT di kawasan berkenaan. Apatah lagi jika premis tersebut hendak dijadikan sekolah. Operasi sekolah tanpa kebenaran PBT, JPN dan polis adalah satu kesalahan.

“Jika ada dakwaan sekolah Rohingya tanpa lesen ini beroperasi jadi kita arah PBT di seluruh negeri ini untuk menyiasat dan membanteras,” katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kebangsaan PBT Malaysia 2026 di sini hari ini. 

Beliau mengulas tentang laporan akhbar ini semalam yang mendedahkan dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Aman Kebajikan Ummah (Paku) tentang kewujudan kira-kira 70 sekolah Rohingya yang beroperasi tanpa lesen di seluruh Kedah termasuk sembilan di daerah ini.

Hasil tinjauan akhbar ini ke sebuah kawasan perumahan di Tongkang Yard dekat sini semalam juga mendapat sebuah sekolah yang menempatkan kira-kira 40 pelajar Rohingya beroperasi sejak 2023 tanpa sebarang kebenaran daripada mana-mana pihak.

Mengulas lanjut kata Mansor, kerajaan negeri memandang serius kewujudan sekolah tanpa lesen tersebut yang dikhuatiri menimbulkan pelbagai implikasi yang tidak diingini. 

“Kita khuatir tempat ini akan dijadikan tempat yang tidak sepatutnya. Jadi kita serah kepada PBT untuk ambil tindakan,” jelasnya.

Dalam pada itu kata beliau, kerajaan negeri menyarankan agar pihak terlibat seperti Jabatan Imigresen mengambil tindakan pantas membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

“Kami menerima banyak aduan orang ramai bahawa ada Rohingya yang meminta sedekah di pasar malam. PBT tidak mempunyai kuasa untuk menahan mereka walaupun banyak aduan daripada orang ramai. 

“Jadi kami berharap Imigresen mengambil tindakan membanteras perkara ini. Kerajaan negeri tidak menghalang warga asing yang masuk secara laluan sah untuk bekerja di sini tetapi bukan secara haram,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN