JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan pergerakan trafik dan pengembara di Tambak Johor dan LinKedua, Gelang Patah tidak terganggu pada tarikh pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN telah menubuhkan pasukan khas sebagai langkah kesiapsiagaan berdepan sebarang gangguan ketika proses peralihan sistem imigresen daripada Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) kepada Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe).
Katanya, walaupun sistem lama masih digunakan pada tarikh pengundian 11 Julai depan, namun pihaknya fokus memastikan kelancaran pergerakan rakyat.
“Status semasa menunjukkan kemungkinan berlaku gangguan masih ada, namun fokus kita adalah memastikan pada hari pengundian iaitu 11 Julai, gangguan itu dapat dielakkan. Satu pasukan khas telah ditubuhkan, sudah tentu kita berharap ia tidak berlaku.
“Namun jika berlaku, kita telah sediakan pelan tindakan termasuk Pelan A dan Pelan B. Itulah arahan yang telah saya berikan kepada KDN,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Hari Penamaan Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.
Sementara itu, Saifuddin Nasution yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, pihaknya berharap rakyat Johor akan memilih kerajaan Negeri selari dengan kerajaan Persekutuan di peringkat pusat.
“Keselarian antara kedua-dua kerajaan penting bagi memastikan dasar pembangunan berjalan lancar tanpa sebarang halangan. Kita mahu pastikan Johor terus terima manfaat daripada pelbagai dasar dan projek Kerajaan Persekutuan.
“Kita tidak mahu perancangan di peringkat pusat dipersulitkan di peringkat negeri,” katanya.-UTUSAN










