KDN laksana operasi bersepadu banteras aktiviti perniaagaan haram

KDN laksana operasi bersepadu banteras aktiviti perniaagaan haram

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui agensi dibawahnya akan melaksanakan operasi bersepadu bagi membanteras aktiviti perniagaan haram warga asing termasuk penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu tindakan tegas dikenakan terhadap aktiviti berkenaan susulan daripada aduan yang diterima sendiri oleh beliau.

“Di bawah KDN, kalau kita tengok ada kesalahan di bawah Akta Imigresen, akta itu jelas tindakan penguatkuasaan boleh diambil, tapi kalau ia melibatkan lesen atau premis perniagaan, itu agensi peguatkuasaan yang lain.

“Sebab itu Perdana Menteri arahkan supaya satu tindakan yang bersepadu dapat dibuat dan beliau mahu tindakan itu sekarang tanpa ditangguh, itu keputusan ketika mesyuarat Kabinet yang lalu,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mahu semua kementerian dan agensi membanteras segala aktiviti perniagaan haram oleh warga asing di negara ini termasuk penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tindakan warga asing yang menjalankan perniagaan haram di negara ini turut menerima rungutan daripada warga tempatan kerana dipercayai menawarkan perkhidmatan dengan kadar lebih rendah.

“Ini menunjukkan persaingan ketika warga tempatan membayar cukai, mereka (warga asing) tidak, namun dalam perkhidmatan mereka tawarkan harga yang jauh lebih murah. Melalui libat urus KDN dengan dewan-dewan perniagaan, kami menerima rungutan sama termasuklah daripada Chinese Chambers of Chambers dan sebagainya,” ujarnya.

Saifuddin turut berkongsi bahawa KDN mempunyai pengalaman menguruskan kes penyalahgunaan pas sosial pekerja warga asing di Sabah sebelum ini.

“Kita mengambil tindakan misalnya dalam kes di Eastern Sabah Security Command (ESSCOMM) di Pantai Timur Sabah, ada pusat peranginan yang kita kesan diusahakan oleh warga asing yang masuk bukan dengan pas perniagaan dan sebagainya tetapi menjalankan perniagaan.

“Jadi kita jalankan operasi pelbagai agensi di Pantai Timur Sabah, diketuai ESSCOMM dan semua agensi yang terlibat dan kita telah lakukan tiga kali tindakan penguatkuasaan sepanjang tahun lepas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN