Karnival Pelancongan Islam PAPUH sasar RM5 juta

Karnival Pelancongan Islam PAPUH sasar RM5 juta

RAZALI Mohd. Sham bercakap pada sidang media Karnival Pelancongan Islam PAPUH Muslim Travel Fair 2026 di Pejabat Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Seksyen 18, Shah Alam. UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) menyasarkan jualan RM5 juta menerusi Karnival Pelancongan Islam PAPUH 2026 di Kompleks PKNS di sini, dari 31 Julai hingga 2 Ogos ini.

Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi penyertaan lebih 100 syarikat dan organisasi daripada pelbagai segmen industri pelancongan, umrah dan haji.

Razali berkata, karnival tiga hari itu dijangka menarik kehadiran ribuan pengunjung dari seluruh negara, khususnya bakal jemaah umrah dan haji, pelancong domestik serta masyarakat umum.

“Kita menyasarkan jualan keseluruhan sebanyak RM5 juta sepanjang penganjuran karnival ini.

“Sasaran itu berdasarkan penyertaan pemain industri serta tawaran pelbagai pakej umrah, haji dan pelancongan Islam yang akan disediakan kepada pengunjung,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Razali berkata, karnival itu bukan sekadar platform jualan, malah menjadi usaha mendidik pengguna supaya lebih berhati-hati dalam memilih agensi pelancongan yang berlesen dan berdaftar.

“Langkah itu penting bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa penipuan pakej umrah dan pelancongan yang menawarkan harga terlalu murah serta tidak munasabah.

“Dalam keadaan kos operasi industri pelancongan meningkat, termasuk hotel, bahan api, tiket penerbangan dan kos berkaitan lain, pengguna perlu berhati-hati dengan tawaran pakej yang terlalu rendah.

“Jika harga ditawarkan jauh lebih rendah daripada pasaran semasa, pengguna perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN