‘Kami mahu pulang’

‘Kami mahu pulang’

BAKI lima kru kapal MV Berkat Tuah yang kini hampir sembilan bulan terkandas di Teluk Parsi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Penantian satu penyeksaan’ menjadi kalimah paling tepat untuk menggambarkan perasaan dialami baki lima kru kapal MV Berkat Tuah yang kini hampir sembilan bulan terkandas di Teluk Parsi.

Jauh dari keluarga, dari minggu ke minggu hingga berbulan lama tanpa sebarang kepastian serta jaminan bila akan pulang. Lebih menyakitkan apabila gaji yang menjadi sumber nafkah untuk keluarga di tanah air masih belum dibayar syarikat kapal selama empat bulan.

Lima kru yang masih bertahan di kapal terbabit adalah Kapten kapal, Hendi Irawan, 43, dari Jakarta, Indonesia; Mohamad Luqman Yahaya, 31, dari Felda Kerteh, Terengganu; Mark Martin, 39, dari Sarawak; Mohd. Shah Rizan Rahman, 33, dari Sabah; dan Mohd. Fariduddin Muhamad Jainudin, 26, dari Tawau, Sabah.

Kapten Hendi berkata, sehingga hari ini masih tiada berita yang jelas daripada pihak syarikat mengenai pembayaran gaji tertunggak serta kepulangan mereka yang masih terkandas di Pelabuhan Hamriya, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Sekarang ini pihak berkuasa pelabuhan tidak benarkan kapal kosong atau tidak ada kru. Jadi kalau kami hendak balik, wajib ada penggantian kru terlebih dahulu.

“Sejak sembilan bulan lalu kami hanya berada di kapal sahaja. Dekat pelabuhan UAE tidak bebas macam di Malaysia. Kita tak boleh keluar dari kawasan jeti tempat kapal diikat. Ada pengawal keselamatan bertugas 24 jam,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Menurut beliau, hanya kru kapal lain yang mempunyai permit atau resident visa dibenarkan keluar masuk pelabuhan dengan bebas.

Harapan mereka pernah kembali bersinar apabila pihak syarikat pemilik kapal mengadakan mesyuarat bersama Jabatan Laut Malaysia (JLM) pada April lalu dan mengemukakan pelan penyelesaian bagi tunggakan gaji serta proses repatriasi (penghantaran pulang) kru.

Berdasarkan surat bertarikh 21 April lalu yang turut dikongsi kepada Mingguan Malaysia, syarikat berjanji untuk menjelaskan sekurang-kurangnya 50 peratus tunggakan gaji sebelum 1 Jun 2026 dan melunaskan baki selebihnya selewat-lewatnya pada 17 Jun 2026.

Bagi proses penghantaran pulang pula, lima kru yang masih berada di atas kapal dijanjikan akan direpatriasi dengan bantuan Kelab P&I (syarikat insurans) serta pemantauan Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM) selepas kru pengganti ditempatkan, selaras dengan keperluan Syahbandar.

Namun sehingga kini, janji itu masih belum menjadi kenyataan.

“Tidak ada sebarang perkembangan lanjut. Pembayaran gaji 50 peratus seperti dicadangkan itu pun tidak dipenuhi, apatah lagi proses pertukaran kru pengganti.

“Kalau ikut surat itu proses akan selesai pada atau sebelum 17 Jun, tetapi dengan berbaki beberapa hari lagi, kami tidak yakin perkara itu akan berlaku kerana tiada maklumat lanjut diberikan untuk sebarang persediaan pulang,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Tambahnya, sehingga kini chiller (pendingin) dan freezer (penyejuk beku) bagi penyimpanan bahan mentah makanan di kapal itu masih rosak dan disebabkan itu semua kru hanya diberi makanan bungkus setiap hari yang ditanggung syarikat insurans.

Lebih memilukan, lima kru yang dibawa pulang lebih awal pada 10 April lalu hasil usaha kerajaan juga masih menunggu gaji tertunggak mereka dijelaskan syarikat kapal.

“Ada beberapa rakan kru yang dapat pulang sebelum ini pun turut kerap menghubungi saya bertanyakan soal gaji tertunggak itu,” katanya.

Tiada jaminan pelan bawa pulang kru

Hendi berkata, setakat ini juga tidak ada jaminan bahawa pelan untuk membawa pulang kru itu akan dipenuhi kerana kebiasaannya untuk pertukaran kru perlu mengambil masa tujuh hari termasuk proses visa antara tiga hingga lima hari, dan selalunya syarikat sudah ada nama kru pengganti.

“Jika mengikut surat itu proses akan selesai pada atau sebelum 17 Jun, tetapi dengan berbaki beberapa hari lagi, kami tidak yakin perkara itu akan berlaku berikutan tiada maklumat lanjut diberikan untuk sebarang persediaan pulang.

“Kami sudah sampai satu tahap tepu di atas kapal ini dan sudah tidak mampu hendak hiburkan diri lagi, terlalu lama di kapal tanpa kata yang pasti daripada pihak syarikat,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi kru bertugas sebagai Oiler, Mohamad Luqman berkata, tempoh perkhidmatan mereka sebenarnya telah lama berakhir kerana kontrak asal hanya selama dua bulan dengan lanjutan maksimum sebulan lagi.

“Namun apa yang dirancang sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu tidak menjadi kenyataan apabila kami terus berada di atas kapal sehingga kini, melebihi lima bulan daripada tempoh kontrak yang sepatutnya tamat.

“Lebih membebankan, kami masih belum menerima gaji bagi tempoh empat bulan, sekali gus menyebabkan kesukaran kewangan yang semakin meruncing dalam kalangan kru dan keluarga masing-masing di tanah air.

Diberi amaran tidak boleh tinggalkan kapal kosong

“Kami setiap hari bangun pagi dengan harapan ada berita baik, ada jawapan tentang gaji atau bila kami akan dihantar pulang. Tetapi hampir setiap hari juga jawapannya sama, masih dalam proses dan masih menunggu,” katanya.

Katanya, pelbagai alasan telah diberikan syarikat selama berbulan-bulan, termasuk menunggu pinjaman bank dan urusan berkaitan penjualan kapal, namun sehingga kini tiada perkembangan yang benar-benar memberi kelegaan kepada mereka.

“Walaupun ada yang terfikir untuk meninggalkan kapal, namun perkara itu bukan pilihan kerana pihak pelabuhan tidak membenarkan kapal berkenaan ditinggalkan tanpa kru yang mencukupi.

“Kami sudah diberi amaran bahawa kapal ini tidak boleh dibiarkan kosong. Sebab itu kami masih bertahan. Sekarang hanya tinggal kru minimum seramai lima orang,” jelasnya.

Bagi Mohd. Fariduddin, tekanan yang berpanjangan bukan sahaja menguji kesabaran, malah turut memberi kesan kepada kesihatan mentalnya.

Ayah kepada dua anak itu berkata, mereka telah melakukan pelbagai usaha bagi mendapatkan bantuan termasuk menghantar surat dan aduan kepada pelbagai pihak berkaitan.

Antara pihak yang telah dihubungi termasuk Pejabat Perdana Menteri, pejabat buruh, kedutaan Malaysia, kedutaan di UAE serta Jabatan Laut, namun mereka masih belum menerima penyelesaian yang diharapkan.

Dalam nada penuh sebak, beliau berkata, apa yang paling mereka harapkan ketika ini hanyalah peluang untuk pulang ke tanah air dan bertemu semula dengan keluarga yang telah lama menanti.

“Kami ada keluarga, anak-anak dan tanggungan di rumah. Kami tidak tahu sampai bila keadaan ini akan berlarutan,” katanya.

Kru alami tekanan mental

Fariduddin mengakui tekanan yang dialami pernah membawanya ke titik paling gelap dalam hidup.

“Kadang-kadang rasa macam hilang arah. Saya sendiri pernah terfikir macam mahu bunuh diri, berkali-kali. Namun saya berusaha memujuk hati sendiri, berbaloikah kalau ambil keputusan itu,” katanya sambil menahan sebak.

Bagaimanapun, sokongan keluarga dan rasa tanggungjawab terhadap anak-anak menjadi kekuatan untuk terus bertahan.

Menurutnya, kehidupan seharian di atas kapal juga bukan mudah kerana kos internet untuk berhubung dengan keluarga terpaksa ditanggung sendiri walaupun sudah berbulan-bulan tidak menerima gaji.

“Kami beli internet sendiri supaya boleh menghubungi keluarga. Kalau tidak, macam mana kami hendak beritahu keadaan kami kepada keluarga?” katanya.

Selain menanggung hutang dan komitmen bulanan, mereka turut bimbang kerana sijil serta kelayakan profesional yang diperlukan untuk bekerja di laut semakin hampir tamat tempoh dan memerlukan kos yang tinggi untuk diperbaharui.

“Kami berharap sangat agar dapat pulang segera ke Malaysia dan menerima gaji yang tertunggak. Ramai antara kami berdepan risiko kereta ditarik, masalah sewa rumah dan hutang yang semakin bertambah.

“Apa yang kami mahu hanyalah hak kami sebagai pekerja serta peluang untuk kembali bersama keluarga,” katanya.

Pada 15 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus mempergiat usaha membawa pulang baki kru kapal Berkat Tuah yang masih terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Dubai, UAE.

Kronologi kapal MV Berkat Tuah

Kapal MV Berkat Tuah telah disewakan di bawah konsep Bareboat Charter kepada pihak ketiga, iaitu Dynamic Navigation Sdn. Bhd. yang juga bertindak sebagai Pengurus Kapal.

Selaras dengan konsep Bareboat Charter, segala urusan operasi kapal adalah di bawah tanggungjawab penuh pihak Pengurus Kapal.

Pengurus Kapal telah membawa kapal tersebut ke Timur Tengah pada Jun 2025. Walau bagaimanapun, telah timbul pertikaian komersial (commercial dispute) antara Pengurus Kapal dan pelanggannya, yang seterusnya menyebabkan penahanan kapal (vessel arrest) pada September 2025 dan membawa kepada prosiding mahkamah yang masih berjalan sehingga kini.

Pihak Pengurus Kapal telah gagal membuat pembayaran gaji kru mengikut jadual, melibatkan tempoh Februari 2026 hingga Mac 2026. Kelewatan ini adalah berpunca daripada pertikaian komersial yang dihadapi oleh pihak Pengurus Kapal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN