Jangan tolak tawaran sambung belajar kerana masalah wang

Jangan tolak tawaran sambung belajar kerana masalah wang

AMINUDDIN Hassim (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Penutup 19th Malaysia FIRA Cup 2026 Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas, Kelantan. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang menerima tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) diminta tidak menolak peluang tersebut meskipun berdepan masalah kewangan.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, terdapat pelbagai agensi, institusi zakat dan badan berkaitan di bawah KPT yang bersedia menghulurkan bantuan.

Katanya, pelajar hanya perlu menerima tawaran dan mendaftar terlebih dahulu sebelum memaklumkan masalah kewangan yang dihadapi kepada pihak universiti.

“Apabila menerima tawaran melanjutkan pelajaran, jangan tolak. Masuk dahulu dan laporkan masalah kewangan kepada pihak universiti, kita akan cuba membantu sedaya mungkin melalui pelbagai saluran yang ada.

“Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh pelajar yang berdepan masalah kewangan adalah memaklumkan perkara tersebut kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) di universiti masing-masing bagi membolehkan bantuan disalurkan segera,” katanya selepas Majlis Penutup 19th Malaysia FIRA Cup 2026 Politeknik Kota Bharu di sini hari ini.

Aminuddin berkata, antara bantuan yang disediakan ialah Bantuan Wang Pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM1,500 sebagai persediaan awal kemasukan ke IPT termasuk bagi pembelian keperluan dan kelengkapan pengajian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN