PUTRAJAYA: Malaysia mesti terus berpegang teguh kepada prinsip masyarakat majmuk seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan menolak sebarang bentuk politik kebencian berasaskan kaum yang boleh menggugat keharmonian negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun landskap politik negara sering menyaksikan perbezaan pandangan dan persaingan antara parti, hakikat bahawa Malaysia dibina atas kepelbagaian kaum, agama dan budaya tidak boleh dipersoalkan atau dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Menurut beliau, semua pihak perlu menghormati pilihan rakyat dalam sistem demokrasi dan mengelak bersikap angkuh hingga menafikan hak kaum atau parti politik lain untuk bersama-sama memainkan peranan dalam pentadbiran negara.
“Soal siapa yang harus mendampingi Perdana Menteri dalam kerajaan dan kementerian, kita harus menghormati semua sosok kaum, sebagai bangsa walaupun induknya majoriti Melayu, kita sentiasa jelas.
“Dalam sistem dan amalan demokrasi, kita mesti menghormati pilihan rakyat. Agak angkuh atau sombong untuk kita ketika membuat keputusan, menafikan hak mana-mana kaum atau parti yang mungkin bertanding dan bersama dalam pilihan raya,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan timbalannya, Teo Nie Ching serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perdana Menteri berkata, prinsip menghormati kepelbagaian bukan sahaja terkandung dalam Perlembagaan, malah turut selari dengan ajaran Islam yang mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum dan bangsa sebagai satu ketetapan yang perlu dihormati.
Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa perbezaan kaum dan budaya perlu dilihat sebagai ruang untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain, bukannya sekadar bertoleransi.
“Sebab itu dalam negara MADANI ini kita tekankan soal nilai. Kita tak nak orang benci dengan kaum, benci saya walaupun saya tahu ramai yang mengatakan bahawa saya ni lebih kepada liberal,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu ‘duduk semeja’ yang kini hangat dimainkan parti-parti politik menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini.
Ahad lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor menegaskan BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP jika diberi mandat semula untuk membentuk kerajaan.
Kenyataan Onn Hafiz itu dijawab Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa pendirian Menteri Besar Johor itu bercanggah dengan realiti kerjasama BN dengan DAP di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Dalam isu lain, Anwar berkata, semua kementerian dan agensi perlu bersama membanteras aktiviti perniagaan haram oleh warga asing di negara ini termasuk penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.
“Tindakan segera perlu diambil susulan peningkatan kes warga asing yang dipercayai menjalankan perniagaan menggunakan visa pelawat atau pelajar serta menyalahgunakan permit dan lesen (perniagaan) milik rakyat tempatan.
“Peranan itu boleh dimainkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Anwar berkata, beliau juga mahu MCMC membantu BNM khususnya dalam mengkaji platform perdagangan elektronik (e-commerce) dan jejak aliran wang (money trail) termasuk elemen Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). – UTUSAN










