Isu tikus, kebersihan antara punca 177 premis makanan diarah tutup

Isu tikus, kebersihan antara punca 177 premis makanan diarah tutup

DANIEL Gooi Zi Sen ketika ditemui pemberita di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Sebanyak 177 buah premis makanan di Pulau Pinang telah diarah untuk menutup operasi mereka buat sementara waktu iaitu antara tempoh Januari sehingga April tahun ini bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 122 premis atau kira-kira 68.9 peratus terpaksa ditutup kerana mempunyai masalah dengan kawalan makhluk perosak terutamanya tikus.

Katanya, 49 buah premis atau 27.7 peratus daripada 177 premis itu pula dikesan mempunyai tahap kebersihan yang tidak memuaskan manakala baki enam lagi premis atau 3.4 peratus terpaksa ditutup kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan isu keracunan makanan.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 4,069 premis makanan telah diperiksa sepanjang tempoh itu dan jumlah premis yang diarah menutup operasi itu hanya kira-kira 4.3 peratus sahaja daripada keseluruhan premis yang diperiksa.

“Hal ini demikian kerana, sebahagian besar daripada premis yang diperiksa itu bagaimanapun berjaya mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP),” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Jelas Daniel, selain mengeluarkan arahan untuk menutup premis yang terlibat buat sementara bagi tujuan pembersihan, JKNPP turut mengeluarkan sebanyak 1,771 Notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 atas pelbagai kesalahan berkaitan premis dan pengendalian makanan terhadap sebahagian daripada premis yang diperiksa itu.

“Saya ingin menegaskan bahawa tindakan penutupan premis bukanlah bertujuan untuk menghukum peniaga, tetapi, ia merupakan langkah pencegahan bagi memastikan makanan yang dijual kepada orang ramai adalah selamat serta tidak mendatangkan risiko kepada kesihatan pengguna.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri sentiasa menghargai sumbangan para pengusaha makanan yang menjadi antara pemangkin utama ekonomi negeri.

“Bagaimanapun, pada masa yang sama, aspek kebersihan dan keselamatan makanan juga tidak boleh dikompromi. Kesihatan rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan,” ujar beliau.

Tambah Daniel, kerajaan negeri dan JKNPP akan terus memperkukuh aktiviti pemantauan serta penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan rakyat Pulau Pinang dapat menikmati makanan yang bersih, selamat dan berkualiti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN