Isu Gajah DAK: Segera tubuh pasukan petugas khas

Isu Gajah DAK: Segera tubuh pasukan petugas khas

Rajesh Nagarajan (tengah) menyerahkan memorandum menuntut siasatan berhubung pemindahan tiga gajah tempatan (Dara, Amoi dan Kelat) ke sebuah zoo di Jepun kepada wakil Ketua Polis Negara, ASP Norbariah Fazuan Ramli di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam. UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu Pasukan Petugas Khas wajar ditubuhkan segera bagi menyiasat dakwaan percanggahan dokumen serta kemungkinan berlaku penyelewengan dalam pemindahan tiga ekor gajah Malaysia Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dari Zoo Taiping ke Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Rajesh Nagarajan berkata, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menjalankan siasatan terperinci dan menyemak kesahihan semua dokumen berkaitan bagi memastikan tiada unsur penyelewengan atau pelanggaran prosedur dalam proses pemindahan berkenaan.

Katanya, semakan oleh PEKA mendapati wujud beberapa ketidakselarasan yang jelas membabitkan permit Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES), sijil kesihatan haiwan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), invois urus niaga serta dokumen penghantaran udara (airway bill).

“Dakwaan percanggahan dokumen ini menimbulkan keraguan sama ada proses pemindahan Gajah DAK dilaksana mengikut peruntukan undang-undang atau wujud sebarang penyelewengan dan salah laku oleh pihak tertentu.

“Oleh itu, PEKA berpandangan sebuah Pasukan Petugas Khas perlu diwujudkan bagi menjalankan siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh memandangkan kes ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan serta transaksi antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar penyerahan memorandum permohonan Penubuhan Pasukan Petugas Khas PDRM di Bukit Aman semalam.

Beliau berkata, PEKA turut menggesa agar setiap laporan polis yang dibuat berkaitan isu tersebut disiasat secara menyeluruh, termasuk meneliti perkembangan terkini siasatan berkenaan.

Katanya, pasukan khas itu juga perlu memastikan ketulenan semua dokumen berkaitan, terma­suk permit CITES, sijil kesihatan daripada DVS, invois, dokumen airway bill, surat-menyurat rasmi antara agensi serta apa-apa bentuk kelulusan yang dikeluarkan.

Selain itu, PEKA juga menuntut semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam proses pemindahan tersebut, termasuk pegawai Zoo Taiping, DVS, Perhilitan dan pihak swasta, dipanggil beri keterangan bagi membantu siasatan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN