RAUB: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong memberi hadiah paling berharga buat ibunya apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.
Irfan Nazmi Ahmad Fakharuddin, 20, berkata, kejayaan itu cukup bermakna khusus bagi ibunya, Robiah Wahab, 43, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan membesarkan enam anak sebagai ketua keluarga selepas bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, 12 tahun lalu.
Katanya, kejayaan dalam peperiksaan itu turut mengubat perasaan kecewanya apabila memperoleh keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu memandangkan sasarannya adalah 10A.
“Pencapaian 8A dalam peperiksaan SPM masih tidak dapat membalas pengorbanan ibu yang banyak menggunakan hasil gaji sebagai pengawal keselamatan di SMK Sega, Raub untuk menampung perbelanjaan keluarga.
“Sebab itu saya menolak tawaran mengikuti program asasi di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan memenuhi cadangan ibu menyambung pengajian di peringkat STPM dengan menanam cita-cita untuk menjadi seorang guru,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kampung Kuala Atok, di sini.
Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata, ibunya adalah pembakar semangat dengan kerap memberi nasihat supaya belajar bersungguh sepanjang tempoh pengajian di tingkatan enam selain membiayai persekolahan termasuk adik-beradik lain.
“Saya bersyukur berkat kesungguhan dan ingat pesan ibu, akhirnya memperoleh keputusan PNGK 4.0 dalam peperiksaan STPM 2025 dan inilah hadiah sebenarnya buatnya (ibu),” katanya. – UTUSAN










