PETALING JAYA: Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 dengan indeks harga pengguna (IHP) naik kepada 137.1 berbanding 134.4 pada bulan sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, empat kumpulan merekodkan inflasi lebih tinggi iaitu maklumat dan komunikasi (2.1 peratus), makanan dan minuman (1.4 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.2 peratus) serta rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.1 peratus).
“Pada masa sama, inflasi menyederhana bagi pengangkutan (3.8 peratus), restoran dan perkhidmatan penginapan (2.5 peratus), pendidikan (2.2 peratus) serta kesihatan (1.2 peratus).
“Inflasi kekal tidak berubah bagi insurans dan perkhidmatan kewangan (4.9 peratus) serta penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (4.8 peratus).
“Kumpulan minuman alkohol dan tembakau mencatatkan 2.8 peratus, manakala hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah 0.4 peratus. Kumpulan pakaian dan kasut pula menurun 0.1 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sebanyak 63.5 peratus item atau 364 daripada 573 item merekodkan kenaikan harga pada Mei 2026.
“Daripada jumlah itu, 355 item (97.5 peratus) mencatatkan kenaikan pada kadar 10 peratus atau kurang, manakala sembilan item melebihi 10 peratus.
“Selebihnya, 167 item (29.1 peratus) menunjukkan penurunan, manakala 42 item tidak berubah.
“Sementara itu, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus kepada wajaran IHP meningkat 1.4 peratus pada Mei 2026 berbanding 1.2 peratus pada April 2026.
“Subkumpulan makanan di luar rumah meningkat 2.5 peratus, sedikit rendah berbanding 2.6 peratus pada April 2026, manakala makanan di rumah naik 0.3 peratus berbanding 0.0 peratus sebelumnya,” ujarnya.
Mohd Uzir berkata, dua kelas perbelanjaan makanan di rumah yang mencatat kenaikan lebih tinggi ialah ikan dan makanan laut lain serta gula, manisan dan pencuci mulut.
“Namun, sayur-sayuran serta susu, produk tenusu lain dan telur merekodkan penurunan.
“Kelas perbelanjaan daging pula menyederhana kepada 0.2 peratus pada Mei 2026 berbanding 0.6 peratus pada April 2026, dipengaruhi oleh inflasi daging kambing tempatan (2.2 peratus berbanding 2.4 peratus) dan daging khinzir (0.7 peratus berbanding 1.4 peratus).
“Daging ayam segar, yang merupakan komponen terbesar dengan 32.6 peratus dalam kelas perbelanjaan daging, mencatat penurunan lebih ketara kepada negatif 2.4 peratus berbanding negatif 0.8 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya.
Tambahnya, purata harga ayam standard Malaysia pada Mei 2026 ialah RM10.48 sekilogram berbanding RM10.63 sekilogram pada Mei 2025, manakala pada April 2026 harga purata ialah RM10.39.
“Di peringkat Semenanjung, purata harga ayam standard ialah RM9.66 sekilogram berbanding RM9.94 sekilogram pada Mei 2025 dengan April 2026 merekodkan RM9.54,” jelasnya. – UTUSAN










