Penangguhan sambutan Hari Peneroka kena tanya Pengerusi Felda - AMK - Utusan Malaysia

Penangguhan sambutan Hari Peneroka kena tanya Pengerusi Felda – AMK

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim menyampaikan cenderamata kepada wakil agensi kerajaan yang hadir dalam majlis di SMK Tun Perak Padang Rengas, Perak hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG RENGAS: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahu persoalan mengenai penangguhan sambutan Hari Peneroka Felda di Johor diajukan sendiri kepada Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim membuat penegasan itu kepada beberapa pihak yang cuba mencipta persepsi bahawa penangguhan tersebut merupakan arahan kerajaan Pusat.

“Sehingga ada jawapan yang jelas daripada Pengerusi Felda, saya tidak boleh beri apa-apa jawapan.

“Pengerusi Felda ialah Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Anda kena tanya dia,” katanya kepada pemberita semasa majlis penghargaan agensi kerajaan dan warga Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak di sini hari ini.

Tular dalam media sosial mengenai surat daripada pihak Felda kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bertarikh 16 Jun lalu berhubung penangguhan sambutan yang sepatutnya diadakan pada 20 dan 21 Jun di Felda Ulu Belitong.

Keadaan tersebut mencetuskan spekulasi kononnya pembatalan itu akibat perselisihan antara parti politik utama kerajaan Pusat dan negeri yang tidak bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu.

Mengenai kempen PRN Johor dan Negeri Sembilan, Muhammad Kamil berkata, partinya akan menekankan hujah kepada pengundi bahawa pentingnya memilih wakil rakyat yang tidak hanya gemar mencatur kuasa politik.

“Rakyat wajar melihat keutamaan pilihan raya ini. Kalau kita lihat di Johor umpamanya, kita ada baki setahun lagi, tetapi dibangkitkan tentang soal kestabilan, diadakan PRN untuk kestabilan. Di mana yang di Johor itu tidak stabil?

“Begitu juga di Negeri Sembilan. Diadakan pilihan raya bukan kerana Menteri Besar curi duit, curi tanah ataupun terpalit dengan skandal tetapi akibat pergelutan kuasa oleh kelompok tertentu yang mempergunakan beberapa pihak untuk mencipta ketidakstabilan politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN