PETALING JAYA: Seorang individu berprofil tinggi akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok atas 158 pertuduhan berkaitan penyelewengan dana awam menerusi Op Sutra.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, individu berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati individu itu dipercayai menggunakan modus operandi dengan menubuhkan beberapa syarikat bagi kepentingan sendiri dan pihak lain.
“Individu berkenaan juga akan didakwa minggu depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas beberapa pertuduhan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA),” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pejabat SPRM Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan hari ini.
Hadir sama Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd. Fuad Bee Basrah.
Dalam perkembangan lain, Abd Halim berkata seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun yang disyaki terlibat dalam kes rasuah membabitkan kira-kira RM1 juta akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 18 Jun ini.
Beliau berkata, individu berkenaan akan menghadapi tujuh pertuduhan, iaitu satu pertuduhan meminta suapan dan enam pertuduhan menerima suapan di bawah Seksyen 16 a(B) Akta SPRM 2009 bernilai keseluruhan RM450,000 menerusi enam transaksi.
Pada 13 April lepas, individu terbabit telah direman selama lima hari sehingga 18 April lalu. – UTUSAN










