Impak kelestarian: USM disenarai antara lima universiti terbaik dunia

Impak kelestarian: USM disenarai antara lima universiti terbaik dunia

USM kini disenaraikan dalam kelompok lima universiti terbaik dunia bagi impak kelestarian oleh THE Sustainability Impact Ratings 2026.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Selepas memperkukuh kedudukannya di persada global apabila naik enam anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-128 dunia dalam QS World University Rankings (QS WUR) 2027 baru-baru ini, Universiti Sains Malaysia (USM) terus cemerlang apabila disenaraikan pula dalam kelompok lima universiti terbaik dunia bagi impak kelestarian.

Penyenaraian itu dibuat oleh Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Ratings 2026 seperti yang diumumkan sempena Global Sustainable Development Congress (GSDC) 2026 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, minggu ini.

Menerusi penarafan terbaharu itu, USM melonjak sembilan anak tangga iaitu daripada kedudukan ke-14 pada tahun lepas kepada kedudukan kelima daripada keseluruhan 1,603 universiti yang dinilai di seluruh dunia.

Pencapaian itu turut mengukuhkan kedudukan USM sebagai universiti nombor satu di Malaysia dalam THE Sustainability Impact Ratings 2026, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam menerajui agenda pembangunan mampan melalui pendekatan institusi yang menyeluruh dan berimpak tinggi.

Lebih membanggakan, USM juga berjaya mengekalkan kedudukan nombor satu dunia bagi Sustainable Development Goal (SDG) 17: Partnerships for the Goals (Perkongsian untuk Matlamat), menjadikan universiti itu antara peneraju global dalam membangunkan kerjasama strategik yang menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, pencapaian tersebut merupakan hasil komitmen berterusan seluruh warga universiti dalam mengintegrasikan prinsip kelestarian ke dalam setiap aspek pengurusan, pendidikan, penyelidikan, operasi kampus, dan penglibatan masyarakat.

“Pencapaian ini juga mencerminkan kekuatan ekosistem kelestarian USM yang menyeluruh dan bersepadu. Ia bukan sekadar pengiktirafan terhadap prestasi universiti di peringkat antarabangsa, malah membuktikan keupayaan institusi pendidikan tinggi Malaysia untuk memimpin agenda pembangunan mampan global yang memberi impak kepada masyarakat.

“Selain itu, kejayaan ini juga selari dengan aspirasi USM sendiri iaitu untuk terus memperkukuhkan peranannya sebagai universiti yang memimpin transformasi pendidikan tinggi ke arah masa depan yang lebih lestari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, THE Sustainability Impact Ratings merupakan penarafan antarabangsa yang menilai sumbangan universiti terhadap pencapaian 17 SDGs PBB melalui aspek tadbir urus, pendidikan, penyelidikan, operasi, dan penglibatan masyarakat.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN