Heritage Fashion Week 2026 angkat martabat Kebaya Selangor, seni Kelingkan - Utusan Malaysia

Heritage Fashion Week 2026 angkat martabat Kebaya Selangor, seni Kelingkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Heritage Fashion Week 2026 anjuran Asfarena buat julung kali menampilkan Festival Showcase Kebaya Selangor dan Kelingkan sebagai platform memperkasa serta memartabatkan warisan tekstil Melayu, khususnya identiti tekstil negeri Selangor.

Festival yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Jun lalu itu dianjurkan dengan kerjasama Kraftangan Malaysia menerusi Karyaneka sebagai rakan strategik bagi memperkenalkan Kebaya Selangor dan seni jahitan halus Kelingkan kepada masyarakat.

Pengasas Heritage Fashion Week, Datuk Asfarena Samion berkata, usaha memelihara dan memastikan warisan tekstil turun-temurun terus relevan perlu diperkasakan agar tidak luput ditelan arus pemodenan.

Katanya, meskipun cabaran melahirkan generasi pelapis dalam bidang seni jahitan halus seperti Kelingkan semakin besar, sambutan yang diterima sepanjang festival itu amat memberangsangkan.

“Sepanjang tiga hari penganjuran festival, kami menerima kira-kira 50 penyertaan bagi kelas jahitan Kelingkan. Sambutan ini membuktikan masih ramai yang berminat untuk mempelajari seni warisan,” katanya ketika ditemui pada Festival Showcase Kebaya Selangor dan Kelingkan di Laman Wau, Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Seni Kelingkan merupakan seni sulaman menggunakan benang logam, lazimnya emas atau perak, yang dijahit pada fabrik halus seperti baldu, sutera dan songket. Seni itu digunakan bagi menghiasi selendang, tudung, baju kurung, tanjak serta kebaya labuh.

Asfarena berkata, warisan tradisi tidak seharusnya diketepikan dalam era moden, sebaliknya perlu dijadikan asas untuk membina masa depan industri tekstil tempatan.

“Saya mahu berkongsi ilmu dan pengalaman hampir 30 tahun dalam bidang seni jahitan halus ini kepada generasi muda kerana sesuatu warisan perlu terus diangkat, dipentaskan dan diraikan,” katanya.

Beliau berkata, Kebaya Selangor yang berakar daripada budaya istana dan masyarakat Melayu lama menampilkan potongan labuh, longgar serta sopan dengan sulaman halus yang dipadankan bersama kain batik, songket atau telepuk, sekali gus melambangkan keanggunan budaya negeri itu.

Festival berkenaan turut dirasmikan Penaung Kebaya Selangor dan Kelingkan, Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Zaizi Azman Shah.

Beliau berkata, usaha memartabatkan Kebaya Selangor dan seni Kelingkan yang menampilkan motif bunga tanjung pecah sembilan sebagai identiti negeri perlu dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda.

“Festival seperti ini bukan sahaja mengetengahkan identiti tekstil Selangor, malah penting bagi memastikan seni halus ini terus lestari dan tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya usaha memperkasa seni warisan diperkukuhkan sejak di bangku sekolah menerusi penubuhan kelab atau aktiviti kokurikulum berkaitan seni tradisi.

Sementara itu, Pengurus Besar Karyaneka, Hairul Nizam Mohd. Amran berkata, pihaknya menyambut baik penganjuran festival tersebut kerana mampu mempromosikan produk tekstil tempatan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Kami berharap lebih banyak hasil seni tekap Kelingkan dapat dihasilkan dalam pelbagai bentuk termasuk aksesori harian dan dipasarkan secara lebih meluas pada harga yang mampu dimiliki masyarakat.

“Karyaneka juga memperkenalkan 11 koleksi edisi terhad termasuk kain pasang bermotif bunga pecah sembilan serta kerongsang khas berwarna Selangor yang boleh didapati di semua cawangan kami,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengarah Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali berkata, pihaknya bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkasa penubuhan Kelab Senikraf di sekolah sebagai usaha melahirkan generasi pelapis dalam bidang kraf.

Katanya, setiap negeri mempunyai identiti kraf tersendiri dan penubuhan kelab itu membolehkan pelajar, termasuk yang bukan daripada aliran seni, mempelajari pelbagai jenis kraf secara praktikal di samping memahami nilai warisan budaya negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN