Harga minyak mentah terus merosot, tekanan inflasi import mereda - Utusan Malaysia

Harga minyak mentah terus merosot, tekanan inflasi import mereda

Hingga lewat petang semalam, harga minyak mentah Brent susut 0.61 peratus kepada AS$80.08 (RM332.52) setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) naik 0.37 peratus kepada AS$76.04 (RM315.75) setong. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah terus menyusut susulan ketegangan yang semakin mereda di Lubnan dan Selat Hormuz, sekali gus mengurangkan tekanan inflasi import ke atas Malaysia.

Hingga lewat petang semalam, harga minyak mentah Brent susut 0.61 peratus kepada AS$80.08 (RM332.52) setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) naik 0.37 peratus kepada AS$76.04 (RM315.75) setong.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, percaturan AS dan Israel dalam menyerang Iran membawa kesan negatif bukan sahaja kepada ekonomi global namun memberi impak politik kepada pentadbiran Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Katanya, perang yang berpanjangan ini menyebabkan harga bahan api terus melonjak sehingga kadar inflasi global terus meningkat.

“Oleh itu, situasi ini berpotensi menjejaskan ‘survival’ politik mereka di negara masing-masing dan faktor ini dilihat menjadi titik tolak penting dalam menjayakan rundingan ini, apabila AS dan Israel masing-masing bakal berhadapan dengan pilihanraya.

“Justeru, faktor ini dilihat mengapa harga mentah dunia agak stabil dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, terdapat laporan yang menyatakan bahawa terdapat pergerakan kapal yang membawa minyak mentah keluar daripada Selat Hormuz.

“Oleh itu, harga minyak mentah WTI dijangka beredar sekitar AS$75 (RM311.27) setong dan Brent sekitar AS$78 (RM323.72) hingga AS$79 (RM327.87) setong dalam masa terdekat,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan BIMB Securites Sdn. Bhd., Mohd Redza Abdul Rahman berkata, prospek jangka pendek dilihat positif namun masih bergantung kepada perkembangan semasa.

Katanya, rangka kerja gencatan senjata antara AS dan Iran telah meningkatkan selera risiko global serta menyebabkan harga tenaga merosot dengan ketara, sekali gus mengurangkan tekanan inflasi import ke atas Malaysia.

“Bagaimanapun, gencatan senjata itu masih belum benar-benar kukuh. Ketegangan yang mengorbankan nyawa di Lubnan baru-baru ini telah mengganggu rundingan susulan di Switzerland dan mendorong Iran mengancam untuk menutup semula Selat Hormuz, walaupun pihak perunding kembali ke meja rundingan.

“Bagi Bursa Malaysia, penghentian mendadak aliran jualan oleh pelabur asing, sokongan berterusan daripada institusi tempatan serta harga komoditi yang kekal kukuh menyediakan asas yang menyokong pasaran,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sehubungan itu, beliau berkata, firma itu mengamalkan strategi pelaburan defensif berbentuk ‘barbell’.

“Satu bahagian melibatkan pendedahan sederhana kepada sektor berkaitan tenaga sebagai perlindungan sekiranya ketegangan di Asia Barat kembali memuncak.

“Bahagian yang lebih besar pula tertumpu kepada tema daya tahan domestik, infrastruktur dan syarikat yang mendapat manfaat daripada pembangunan pusat data, memandangkan sektor-sektor ini menawarkan keterlihatan pendapatan yang lebih jelas,” ujarnya.

Tambahnya, pelabur juga disaran memantau perkembangan projek-projek mega domestik yang berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pasaran dan keuntungan korporat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN