Guan Eng gagal batal pertuduhan rasuah

Guan Eng gagal batal pertuduhan rasuah

LIM Guan Eng hadir ke Istana Kehakiman Putrajaya.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan isterinya, Betty Chew serta ahli perniagaan, Phang Li Koon perlu menghadapi perbicaraan membabitkan pertuduhan rasuah melibatkan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta dan pengubahan wang haram.

Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan oleh Guan Eng dan Li Koon atas alasan tiada kekhilafan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

“Prinsip autrefois acquit (sebelum ini dibebaskan) autrefois convict (sebelum ini disabitkan) dan estoppel (dihalang) tidak terpakai.

“Pertuduhan yang dikenakan pada perayu-perayu menyentuh isu yang berbeza dengan pertuduhan yang telah dilepaskan dan dibebaskan sebelum ini,”kata Hakim Noorin ketika membaca penghakiman ringkas panel itu.

Kes rasuah dan pengubahan itu akan disebut di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 3 Julai ini.

Pada 3 Mei 2024, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan Guan Eng, Betty Chew dan Li Koon untuk membatalkan pertuduhan berkenaan, dengan menyatakan doktrin autrefois acquit atau peraturan terhadap pendakwaan berganda yang dihujahkan oleh pihak pembelaan tidak terpakai kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

Pada 26 Mei 2023, Guan Eng, Chew dan Li Koon memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram atas alasan pihak pendakwaan menggunakan keterangan daripada kes terdahulu membabitkan pembelian banglo oleh Guan Eng di Jalan Pinhorn, walaupun beliau dibebaskan dan dilepaskan pada 2018.

BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN