Gila Bayang pertaruhan sulung Ammar Haikal - Utusan Malaysia

Gila Bayang pertaruhan sulung Ammar Haikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ammar Haikal, 18, mengakui menerima banyak pilihan lagu sebelum memutuskan untuk muncul dengan single pertamanya, Gila Bayang.

Menurut Ammar atau Wan Ammar Haikal Wan Aminuddin, lagu itu, yang berentak pop, menarik minatnya sebaik sahaja dia mendengarkan demonya buat pertama kali.

“Saya, Naim dan Adib menerima banyak lagu, namun lagu Gila Bayang ini ‘terikat’ dengan saya. Saya mahukan lagu ini selepas pertama kali mendengarkannya, katanya pada sidang media lagu Gila Bayang, semalam.

Ammar memaklumkan lirik Gila Bayang berkisarkan tentang ‘cinta monyet’ yang berkait rapat dengan kehidupan masyarakat.

“Tetapi ianya tidak ada kena mengena dengan kehidupan saya kerana saya masih muda untuk bercinta,” kongsinya.

Ammar berharap lagu tersebut dapat melonjakkan dan membawa namanya meroket lebih tinggi dalam dunia seni suara.

“Saya tidak menaruh harapan untuk meletop dengan single pertama tapi oleh kerana penghasilan yang mantap, saya yakin single ini boleh pergi jauh dan membawa nama saya lebih tinggi.

“Jadi saya berterima kasih kepada XO House kerana menghasilkan lagu yang hebat seperti Gila Bayang,” ujarnya.

Bercakap mengenai teaser Gila Bayang yang dimuat naik dalam media sosialnya, Ammar tidak menyangka akan menerima maklum balas memberansangkan sehingga lagu itu berulang kali digunakan sebagai lagu latar di platform TikTok.

“Sebenarnya saya dan XO House tidak meletakkan harapan tinggi kepada single ini. Cukup sekadar membantu untuk memperkenalkan diri saya kepada masyarakat.

“Tapi apabila memuat naik sedutan lagu itu, saya tak sangka ia mendapat sambutan yang memberangsangkan. Ia diterima baik pendengar.

“Dan lebih membanggakan lagi apabila lagu itu sudah didengari lebih 50,000 pengguna TikTok. Jadi saya berterima kasih kepada yang menggunakan lagu itu,” kongsinya.

Dalam masa yang sama, Amar memaklumkan ingin mencabar diri sendiri dengan meneroka pelbagai genre lagu di masa akan datang.

“Muzik pop adalah genre pilihan saya. Tapi saya ingin mencuba pelbagai genre di masa akan datang.

“Cuma untuk awal ini, biarlah saya memperkenalkan diri dengan muzik bergenre pop. Saya mahu dikenali sebagai artis pop, bukan balad,” ujarnya.

Bercerita tentang proses rakaman lagu tersebut, Amar memaklumkan ia berdepan pelbagai cabaran lebih-lebih lagi kesukaran untuk membahagikan masa antara rakaman dan pelajaran.

“Contohnya ada masa ia bertindih dengan pelajaran saya. Adakalanya saya terpaksa bergegas ke studio rakaman selepas tamat persekolahan semata-mata untuk menyiapkan lagu ini dan kemudian pulang lewat malam.

“Jadi masa itu menjadi kekangan terbesar kerana dalam menjadi penyanyi, saya juga seorang pelajar,” ujarnya lagi.

Amar dalam pada itu mengambil serius nasihat bapanya, Ameng Spring yang meminta dia tidak meninggalkan pelajaran walaupun sibuk menguruskan kerjaya nyanyian.

“Bapa saya kadang-kadang memantau aktiviti nyanyian saya. Dia sentiasa menasihatkan agar tidak meninggalkan kelas walaupun sesibuk mana kerjaya nyanyian saya.

“Walau bagaimanapun dia memberi kebebasan kepada saya untuk mengatur masa asalkan saya tidak mengabaikan pelajaran,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN