Gaza terdesak bantuan, dunia rai Piala Dunia

Gaza terdesak bantuan, dunia rai Piala Dunia

MEGAT AIMAN HAKIM MEGAT SHARIFFUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketika penduduk Gaza semakin terdesak memerlukan bantuan kemanusiaan, tumpuan dunia pula terarah kepada kemeriahan Piala Dunia 2026 yang dibuka dengan sorakan peminat dan percikan bunga api.

Eksekutif Advokasi dan Penyelidikan MyCARE, Megat Aiman Hakim Megat Shariffudin berkata, umat Islam tidak seharusnya terlalu ghairah meraikan kejohanan bola sepak itu sehingga melupakan penderitaan rakyat Palestin.

Megat Aiman berkata, malam pembukaan Piala Dunia di Mexico memperlihatkan dua keadaan berbeza apabila satu pihak meraikan sukan dengan penuh kemeriahan, manakala Gaza te­rus dihujani serangan.

“Pada malam pelancaran World Cup di Mexico, ketika penonton dan stadium dicerah­kan dengan bunga api, pada ma­sa yang sama Gaza dibedil.

“Itulah acara pembukaan World Cup disambut di Gaza iaitu dengan pembunuhan dan genosid yang berterusan,” katanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menggesa laluan sempadan Gaza dibuka semula bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan cepat, selamat dan tanpa halangan kepada penduduk.

Gesaan itu dibuat ketika se­rangan di Gaza dilaporkan masih berlaku walaupun rundingan baharu gencatan senjata sedang digerakkan oleh beberapa pihak antarabangsa.

Megat Aiman berkata, Piala Dunia sememangnya acara bola sepak, namun tidak wajar dijadikan alasan untuk mengabaikan perkembangan semasa di Gaza.

Katanya, umat Islam perlu terus mengikuti isu serangan, sekatan bantuan kemanusiaan dan usaha gencatan senjata yang masih berdepan halangan.

“Tapi jangan lupa bahawa World Cup ini diadakan ketika umat Islam di Gaza dan banyak negara Islam lain sedang bergolak,” katanya.

Megat Aiman turut mengingatkan umat Islam supaya tidak melupakan peranan Amerika Syarikat sebagai antara tuan rumah kejohanan itu.

Katanya, sebahagian besar senjata, bahan letupan, peluru dan bom yang digunakan terhadap rakyat Palestin dibuat di Amerika Syarikat.

“Jangan terlalu bergembira, jangan terlalu beria dalam bola sepak ini sampai melupakan genosid yang sedang berlaku,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN