BALIK PULAU: Harga udang laut tempatan di Pulau Pinang stabil dan tidak menunjukkan peningkatan ketara meskipun terdapat gangguan terhadap kemasukan udang kolam dari Thailand ke negara ini.
Nelayan di Teluk Kumbar, Roslizan Ramli berkata, setakat ini situasi itu tidak memberi kesan langsung kepada harga udang laut kerana pasaran kedua-dua produk itu berbeza.
Katanya, kebanyakan restoran biasa menggunakan udang kolam, manakala udang laut lazimnya menjadi pilihan restoran tertentu yang menawarkan hidangan premium.
“Harga udang laut masih biasa dan tidak ada kenaikan. Nelayan menjual hasil tangkapan kepada peraih pada harga sekitar RM50 sekilogram bagi udang campuran.
“Walaupun ada isu kemasukan udang kolam dari Thailand, harga udang laut kekal stabil kerana permintaannya berbeza dengan udang kolam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan mengetatkan kawalan dan menguatkuasakan sekatan sementara ke atas lima spesies udang dari Thailand berkuat kuasa semalam.
Ia dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sehingga pihak berkuasa Thailand mengemukakan maklum balas rasmi yang lengkap kepada Malaysia
Roslizan berkata sebarang perubahan harga berkemungkinan berlaku di peringkat peraih atau pasaran, namun harga yang diterima nelayan ketika ini masih berada pada paras biasa.
Dalam pada itu, beliau mengakui bekalan udang laut ketika ini agak terhad berikutan faktor cuaca dan perubahan keadaan air yang menjejaskan hasil tangkapan nelayan.
“Memang boleh nampak hasil tangkapan udang semakin berkurangan sejak kebelakangan ini. Faktor musim dan perubahan keadaan cuaca banyak mempengaruhi jumlah tangkapan. Kalau sebelum ini hasilnya lebih baik, sekarang untuk mendapatkan puluhan kilogram sehari pun agak sukar,” katanya.
Bagaimanapun beliau yakin bekalan udang laut tempatan masih mampu memenuhi permintaan semasa dan tidak menjangkakan berlaku lonjakan harga dalam masa terdekat. – UTUSAN










