KUALA TERENGGANU: Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar bersama keluarganya di sekitar Pantai Teluk Ketapang di sini, sejak 29 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, laporan orang hilang dibuat bapanya pada petang 30 Mei lalu selepas remaja terbabit gagal dikesan.
Katanya, Amiratul Husna Mohd. Shany adalah pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Bukit Payong, Marang.
“Hasil siasatan awal mendapati kira-kira pukul 6 petang pada 29 Mei lalu, gadis itu dibawa keluar bersiar-siar bersama keluarganya di sekitar Pantai Teluk Ketapang.
“Ketika berada berhampiran tapak niaga di kawasan tersebut, dia memaklumkan kepada bapanya untuk ke lokasi ibunya, iaitu kira-kira 10 meter dari tempat dia berada,” katanya hari ini.
Azli berkata, bapanya kemudian cuba menghubungi telefon bimbit remaja itu serta mencarinya di kawasan sekitar namun gagal ditemukan.
Katanya, sehingga kini Amiratul Husna belum pulang ke rumahnya dan gagal dikesan manakala nombor telefon bimbitnya juga tidak lagi aktif sejak kehilangannya.
Menurutnya, sebelum hilang, gadis itu dilaporkan memakai baju-T lengan panjang dan seluar slack berwarna hitam serta tudung berwarna ungu bercorak petak. Dia mempunyai ketinggian kira-kira 152 sentimeter, berat badan sekitar 50 kilogram, berkulit sawo matang dan bertudung.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Nor Izani Mohd. Shahir di talian 016-7943735 bagi membantu siasatan. – UTUSAN










