ALOR SETAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan belian buah-buahan bermusim termasuk durian melalui pusat operasinya sebanyak 1,000 metrik tan dengan nilai RM7 juta bagi tahun ini.
Pengarah FAMA Kedah, Shaiful Azhar Zolkipli berkata, sehingga kini FAMA membeli sebanyak 142.7 metrik tan dengan nilai RM1.1 juta.
“Sementara belian tidak langsung melalui usahawan pemasar FAMA sudah mencapai 1,099 metrik tan dengan nilai jualan RM3.28 juta,” katanya pada program Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan Peringkat Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Pegawai, di sini hari ini.
Shaiful Azhar berkata, pemantauan FAMA mendapati harga purata durian kampung di peringkat ladang ketika ini berada pada kadar RM1 hingga RM4 sekilogram (kg) bergantung kepada lokasi dan kuantiti bekalan.
Katanya, pemasaran jualan durian di Kedah setakat ini masih terkawal ekoran permintaan yang tinggi dalam kalangan penduduk negeri ini termasuk dari negeri jiran.
“Setakat ini durian Kedah habis jual di Kedah sahaja malah di daerah tertentu seperti Kulim durian dibawa ke luar seperti Pulau Pinang. Setakat ini tidak ada lagi masalah, permintaan masih ada dan belum berlaku krisis yang membimbangkan,” katanya.
Menurut beliau, bagi menangani peningkatan bekalan semasa musim puncak, FAMA Kedah melaksanakan tiga strategi utama termasuk memperluaskan saluran pemasaran melalui 10 lokasi jualan buah-buahan bermusim di seluruh negeri sebagai saluran jualan terus dari ladang.
“Selain itu kita wujudkan tiga Pusat Belian Sementara (PBS) yang dikendalikan FAMA dan usahawan bimbingan, strategi kedua pula melibatkan pengoperasian tiga Pusat Operasi (PO) di Alor Setar, Sungai Petani dan Langkawi yang melaksanakan intervensi khidmat pemasaran untuk bantu petani yang sukar memasarkan hasil pengeluaran mereka.
“FAMA turut memanfaatkan Pusat Memproses Buah FAMA (PMBF) di PO FAMA Sungai Petani untuk menyerap lebihan bekalan melalui aktiviti pemprosesan kepada produk separa siap seperti pes durian dan sepanjang tempoh pengeluaran ini, sebanyak dua metrik tan buah-buahan diproses melalui kemudahan itu,” katanya.
Sementara itu, bagi menyokong usaha pengurusan bekalan durian, FAMA turut menyediakan 142 bilik sejuk di seluruh negara dengan kapasiti penyimpanan keseluruhan sebanyak 1,600 metrik tan bagi membantu mengekalkan kualiti produk serta mengurangkan tekanan pasaran semasa musim puncak.
“Berdasarkan Laporan Sijil Perakuan Pematuhan (CoC), jumlah eksport durian negara pada 2025 mencatatkan sebanyak 42,994 metrik tan dan dijangka terus meningkat kepada 50,000 metrik tan pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN










