ALOR SETAR: Tindakan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang memilih untuk mendiamkan diri selepas didakwa dipukul rakan akhirnya terbongkar apabila rakaman kejadian tular di media sosial.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.30 petang, 16 Jun lalu di sebuah padang bola di Taman Uda, di sini ketika mangsa sedang bermain bola sepak bersama rakan-rakannya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Hilmi Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 20 Jun lalu selepas bapa mangsa tampil membuat laporan susulan penularan video berkenaan.
Menurutnya, pengadu memaklumkan hanya mengetahui mengenai kejadian tersebut selepas dimaklumkan oleh anak saudaranya yang melihat rakaman video itu di media sosial.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dan kedua-dua suspek merupakan kenalan sejak darjah satu selain tinggal di kawasan perumahan yang berdekatan. Mereka juga merupakan rakan sebaya yang belajar di sekolah serta kelas yang sama,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati salah seorang suspek dipercayai bertindak menyerang mangsa selepas menerima maklumat daripada rakannya bahawa mangsa didakwa mengganggu teman wanitanya.
“Bagaimanapun, mangsa menafikan dakwaan tersebut. Siasatan juga mendapati suspek telah menendang mangsa di bahagian perut sehingga mangsa rebah ke tanah sebelum menendang sekali lagi di bahagian sisi badan.
“Selepas mangsa terjatuh, seorang lagi remaja yang berada berhampiran dipercayai menolak mangsa menggunakan kaki sehingga mangsa terjatuh lebih jauh dan mangsa menyatakan hanya suspek yang menendangnya,” katanya.
Hilmi berkata, mangsa tidak memaklumkan kejadian itu kepada pihak sekolah atau ibu bapanya kerana tidak mahu membesarkan isu berkenaan, sebelum hanya mengetahui insiden itu selepas rakaman video kejadian tular di media sosial.
Menurut beliau, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. – UTUSAN










