SEREMBAN: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa dipercayai beroperasi melalui laluan laut bagi menyalurkan bekalan ke negara jiran berjaya ditumpaskan dalam dua serbuan berasingan di Port Dickson, awal pagi semalam membabitkan rampasan dadah bernilai RM1.44 juta.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, operasi kira-kira pukul 3 pagi itu membawa kepada rampasan dadah disyaki syabu seberat 26.4 kilogram (kg) serta 100 kartrij cecair vape yang dipercayai mengandungi dadah jenis ketamin.
Menurutnya, dalam serbuan pertama di kawasan pantai Kampung Kuala Lukut, Port Dickson, polis menahan dua orang lelaki warganegara Indonesia berusia 32 dan 34 tahun yang berada dalam sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran.
“Hasil pemeriksaan menemukan 10 bungkusan dadah disyaki syabu seberat 12kg bernilai kira-kira RM600,000.
“Polis turut merampas bot pancung yang dipercayai digunakan untuk membawa dadah keluar dari negara ini melalui laluan laut ke Dumai, Indonesia,” katanya pada sidang akhbar Kejayaan Tangkapan dan Rampasan Dadah Bernilai RM1.44 juta di Port Dickson di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Alzafny berkata, susulan tangkapan itu, polis turut mengesan sebuah kereta di kawasan Tanjung Agas sebelum berlaku aksi kejar-mengejar sejauh kira-kira enam kilometer sehingga ke kawasan ladang kelapa sawit di Pengkalan Kempas, Linggi.
Katanya, bagaimanapun, suspek yang memandu kenderaan tersebut yang juga ‘transporter’ berjaya meloloskan diri selepas kereta dipandunya terbabas.
“Pemeriksaan ke atas kereta itu menemukan 12 bungkusan dadah disyaki syabu seberat 14.4kg bernilai kira-kira RM744,000 dan 100 kartrij cecair vape disyaki mengandungi ketamin bernilai RM100,000.
“Suspek yang melarikan diri dikenal pasti sebagai lelaki berusia 42 tahun yang berasal dari Negeri Sembilan serta mempunyai enam rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya.
Katanya, hasil siasatan turut mendapati lelaki tersebut mengambil bekalan dadah itu di Kuala Lumpur sebelum dihantar kepada dua orang suspek warganegara Indonesia untuk dikeluarkan di jalan laut.
Alzafn berkata, jumlah keseluruhan syabu yang dirampas dipercayai mampu menampung seramai 132,000 penagih manakala cecair vape mengandungi ketamin itu boleh digunakan sehingga 100 penagih.
Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek warganegara Indonesia tersebut positif metafetamin dan dipercayai memasuki negara ini secara haram.
“Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula 3 Jun hingga 9 Jun ini bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal juga mendapati mereka bukan kali pertama bertindak sebagai transporter, malah dipercayai telah melakukan aktiviti sama sebanyak empat kali sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati sindiket berkenaan menggunakan laluan laut bagi menghantar bekalan dadah ke Indonesia serta lokasi pendaratan sering berubah bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dab polis sedang giat mengesan suspek yang masih bebas dan akan memperhebat usaha untuk melumpuhkan keseluruhan rangkaian sindiket ini,” katanya.-UTUSAN










