PETALING JAYA : Seorang ahli kumpulan jenayah terancang dikenali Geng TR yang ditahan polis dalam Op Lima semalam didakwa hari ini.
Suspek berusia 46 tahun dan berada dalam senarai dikehendaki ditahan melalui operasi khas yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, lelaki itu ditahan ketika dalam penerbangan dari Chennai, India menuju ke Bangkok, Thailand sebelum dibawa pulang ke negara ini.
Katanya, lelaki warga tempatan itu adalah ahli Geng TR yang aktif melakukan jenayah kekerasan dan aktiviti dadah di sekitar Selangor sejak 2021.
“Suspek juga mempunyai rekod dalam pelbagai kesalahan serius termasuk kes bunuh serta rompak berkumpulan menggunakan senjata dan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, penahanan suspek berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada 17 April lalu selain mempunyai Notis Merah Polis Antarabangsa (Interpol) yang dikeluarkan pada 7 Mei lalu.
Katanya, penahanan suspek kerana menjadi ahli suatu kumpulan jenayah terancang dan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
“Suspek dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor pada 10 pagi ini,” katanya.
Kumar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa India dan Thailand atas sinergi serta kerjasama erat diberikan pihak berkenaan dalam operasi terbabit.
Beliau menegaskan komitmen berterusan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang demi memastikan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat negara ini diutamakan.-UTUSAN










