MARANG: Seorang pemuda etnik Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Kampung Rusila, di sini pada 27 Mei lalu.
Pengakuan itu dibuat Shah Dullah Abdul Hashim, 20, sejurus selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim.
Shah Dullah didakwa memandu kereta jenis Proton Saga secara berbahaya kepada orang awam selepas mengambil kira keadaan jalan, jenis kenderaan dan keadaan trafik di lokasi kejadian.
Perbuatan itu didakwa menyebabkan kemalangan membabitkan sebuah motosikal Yamaha RXZ ditunggang mangsa, Saifullah Isyraf Shamsudin, 27, yang disahkan meninggal dunia pada 2 Jun lepas.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan selain hilang kelayakan memegang lesen memandu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan syarat dua penjamin warganegara dan perlu melapor diri setiap bulan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Marang. Majistret menetapkan 8 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maisarah Abd Razak manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Ramlan Taib.
Dalam kejadian 27 Mei lalu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha RXZ dari arah Kuala Terengganu ke Rusila dipercayai terlibat dalam pelanggaran dengan kereta dipandu tertuduh yang sedang membelok ke kiri.
Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia pada 2 Jun ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. – UTUSAN










