Cukai negeri mampu capai RM81.35 juta jika Kadar Baharu Cukai Tanah 2026 diluluskan - Utusan Malaysia

Cukai negeri mampu capai RM81.35 juta jika Kadar Baharu Cukai Tanah 2026 diluluskan

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail pada majlis perasmian penggal persidangan keempat DUN Perlis ke-15 di Kompleks Seri Putra, di Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/ADIB AKHYAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KANGAR: Hasil cukai negeri dianggar mencapai sehingga RM81.35 juta bagi tahun 2027 sekiranya permohonan Kadar Baharu Cukai Tanah 2026 diluluskan kerajaan Persekutuan.

Hasil semasa cukai negeri pada masa ini sekitar RM26.93 juta.

Justeru, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan permohonan Kadar Baharu Cukai Tanah 2026 dengan sewajarnya bagi menyokong usaha pembangunan negeri serta memperkukuh kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Baginda dimaklumkan bahawa cadangan tersebut tidak diluluskan oleh Majlis Tanah Negara (MTN) yang bersidang pada tahun lalu atas pertimbangan dasar, termasuk keperluan penelitian lanjut terhadap impak kepada rakyat dan sektor tertentu.

Titah baginda, kerajaan negeri telah mengambil pendekatan untuk memperhalusi semula pelaksanaan itu khususnya bagi semua kategori tanah milik Persekutuan.

“Sekiranya permohonan tersebut diluluskan, hasil cukai negeri dianggarkan mencapai RM81.35 juta bagi tahun 2027 berbanding hasil semasa yang berjumlah RM26.93 juta pada masa ini.

“Beta juga mengambil maklum bahawa pelaksanaan ini mungkin memberi kesan kepada sebahagian rakyat. Sehubungan itu, kerajaan negeri telah mencadangkan supaya diberikan rebat cukai tanah bagi tempoh selama 10 tahun, yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut tahun kewangan sebagai langkah membantu mengurangkan beban rakyat secara beransur-ansur,”titah baginda sempena perasmian penggal persidangan keempat, DUN Perlis ke-15 di Kompleks Seri Putra, di sini, hari ini.

Baginda bertitah, segala inisiatif pembangunan yang dirancang akan terus dilaksanakan dengan penuh iltizam, keprihatinan dan semangat kebersamaan.

Titah baginda, Perlis akan terus melangkah maju sebagai sebuah negeri yang sejahtera, inklusif dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan hanya melalui kerjasama erat antara pihak kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.

“Dalam masa yang sama, beta ingin mengingatkan bahawa kita tidak seharusnya terus terperangkap dengan stigma dan naratif lama yang melihat Perlis sebagai sebuah negeri kecil dengan keterbatasan tertentu,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menghargai usaha bersungguh-sungguh dijalinkan antara kerajaan negeri dan Persekutuan sebelum ini.

Baginda juga menyambut baik siri lawatan dan kunjungan hormat dilaksanakan oleh Menteri Besar ke atas pelbagai kementerian bagi mengeratkan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN