‘Coexistence’ norma baharu kelestarian industri sawit

‘Coexistence’ norma baharu kelestarian industri sawit

AHMAD Shahdan Kasim ketika membentang kertas kerja ‘Mengurus Biodiversiti Secara Lestari Dalam Landskap Kelapa Sawit ‘ pada Forum Biodiversiti 2026 di Putrajaya, kelmarin. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Konsep ‘coexistence’ atau kewujudan bersama antara manusia dan hidupan liar perlu dijadikan norma baharu dalam pengurusan landskap sawit negara bagi memastikan agenda pemuliharaan biodiversiti dapat bergerak seiring dengan pembangunan ekonomi dan kelestarian industri itu.

Pengurus Jabatan Pemuliharaan dan Kelestarian, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), Ahmad Shahdan Kasim berkata, pendekatan tersebut bukan lagi satu pilihan, sebaliknya perlu menjadi standard operasi harian yang diamalkan oleh syarikat perladangan, pekebun kecil dan semua pihak yang terlibat dalam pengurusan landskap sawit.

Menurut beliau, pengurusan biodiversiti tidak seharusnya dilihat sebagai projek khas yang dilaksanakan secara berkala, tetapi perlu diintegrasikan dalam perancangan dan operasi ladang secara berterusan.

“Pengeluaran minyak sawit yang mampan akan menjadi lebih kukuh apabila pengurusan biodiversiti dijadikan sebahagian daripada amalan harian dan bukannya aktiviti sampingan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Managing Biodiversity Sustainably Within Oil Palm Landscapes pada Forum Biodiversiti MPOGCF 2026 di sini, kelmarin.

AHMAD SHAHDAN KASIM

Forum yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari dalam dan luar negara terdiri daripada pakar pemuliharaan, pemain industri perladangan, penyelidik, penggubal dasar, pelajar serta pengamal kelestarian bagi memperkukuh kerjasam dalam pemuliharaan biodiversiti dalam lanskap perladangan kelapa sawit.

Bertemakan ‘Coexistence in Malaysian Oil Palm Plantation Landscapes’, forum dwitahunan itu memfokuskan kepada usaha memperkasa kefahaman serta pelaksanaan pendekatan ‘coexistence’ dalam menangani konflik manusia dan hidupan liar, di samping menyokong pengurusan perladangan yang mampan.

Mengulas lanjut, Ahmad Shahdan berkata, usaha untuk menggalakkan kehidupan bersama antara manusia dan hidupan liar juga penting bagi mengurangkan konflik yang berlaku di kawasan perladangan tanpa menjejaskan sumber pendapatan penduduk serta keselamatan operasi.

Menurutnya, pendekatan tersebut memerlukan kerjasama menyeluruh antara syarikat perladangan, pekebun kecil, agensi kerajaan, penyelidik dan komuniti setempat memandangkan hidupan liar bergerak merentasi sempadan tanah milik pelbagai pihak.

“Usaha pemulihan habitat bukan sekadar projek konservasi, malah berperanan menghubungkan semula lanskap yang terpisah sekali gus membolehkan pergerakan hidupan liar berlaku dengan lebih selamat dan teratur,” ujarnya.

Beliau turut menekankan tentang kepentingan koridor hidupan liar sebagai komponen utama dalam memastikan kelangsungan biodiversiti di kawasan perladangan dengan menguruskan aset biodiversiti yang mampu menjadi laluan selamat kepada hidupan berkenaan seperti sempadan ladang, pinggir hutan dan jalur riparian (kawasan rizab sungai).

“Kawasan yang sebelum ini dianggap zon konflik berpotensi ditukar menjadi laluan pergerakan hidupan liar sekiranya dirancang dan diurus dengan baik,” katanya.

Ahmad Shahdan berkata, sebagai contoh, di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, MPOGCF dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan kerjasama Earthworm Foundation (EF) menjayakan agenda manusia dan gajah hidup bersama secara harmoni, melalui pembiayaan kos pemasangan pagar elektrik di beberapa lokasi sesuai melibatkan kebun-kebun kelapa sawit.

Jelasnya, aspek ‘coexistence’ itu memberi manfaat secara langsung kepada pekebun kecil kerana ia dapat membantu mengurangkan risiko kerosakan tanaman dan ancaman keselamatan yang berpunca daripada konflik manusia-hidupan liar.

“Matlamatnya adalah untuk meningkatkan keselamatan komuniti, mengurangkan kerosakan tanaman dan mempromosikan pemuliharaan hidupan liar tanpa memisahkan kelangsungan hidup daripada tanggungjawab terhadap biodiversiti,” katanya.

SEBAHAGIAN peserta yang hadir pada Forum Biodiversiti 2026 di Putrajaya, kelmarin.

Menurut beliau, antara pendekatan yang boleh dilaksanakan termasuk program peningkatan kapasiti komuniti, pemasangan halangan fizikal, pembangunan sistem amaran awal dan pelaksanaan protokol tindak balas yang lebih berkesan.

Katanya, ini kerana ‘coexistence’ tidak boleh dilihat semata-mata sebagai agenda pemuliharaan, sebaliknya merupakan strategi pengurusan risiko yang melindungi manusia, tanaman dan hidupan liar dalam landskap sawit yang mampan.

Menerusi pembentangannya, Ahmad Shahdan turut menyentuh pelbagai program konservasi spesies yang dilaksanakan bagi memperkukuh kredibiliti industri sawit Malaysia antaranya termasuk tinjauan populasi gajah dan orang utan bersama rakan kerjasama di Sabah bagi memperkukuh perancangan pemuliharaan spesies ikonik Borneo, operasi Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU), pemuliharaan harimau Malaya serta tindak balas lapangan melibatkan beruang matahari.

“Program-program tersebut bukan sahaja membantu melindungi spesies terancam, malah membuktikan komitmen jangka panjang industri sawit terhadap pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan alam sekitar yang bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditemui Utusan Malaysia, Ahmad Shahdan berkata, pembukaan ladang sawit dan pembangunan kawasan baharu sememangnya penting untuk menjana ekonomi serta memenuhi keperluan manusia, namun aktiviti itu turut memberi kesan kepada habitat semula jadi hidupan liar.

“Pada masa sama kita tidak boleh menafikan bahawa aktiviti manusia di kawasan tersebut mempunyai impak terhadap hidupan liar. Sebab itu kita perlu memikirkan bagaimana untuk mengimbangi kedua-duanya. Kita mahu mewujudkan situasi menang-menang antara manusia dan hidupan liar kerana kedua-duanya bergantung kepada sumber dan ruang yang sama,” katanya.

Justeru, beliau berpandangan bahawa pendekatan hidup bersama hidupan liar perlu diterima sebagai realiti baharu dalam perancangan pembangunan negara.

“Tanah itu terhad tetapi populasi manusia semakin meningkat. Kita tidak boleh memperluaskan saiz negara, jadi kita perlu mencari jalan untuk hidup bersama dan berkongsi ruang yang ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN