BANGI: Institut Perubahan Iklim (IPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menerima dana penyelidikan berjumlah RM500,000 daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi membangunkan inventori jejak karbon yang komprehensif untuk sektor sawit negara.
Kajian itu dijangka menghasilkan data saintifik yang lebih tepat bagi menyokong pembangunan dasar, memenuhi keperluan pasaran antarabangsa serta meningkatkan ketelusan dan kredibiliti industri sawit negara.
Naib Canselor, Prof. Datuk; Dr. Sufian Jusoh berkata melalui dana itu, pasukan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Dr. Marlia Mohd Hanafiah akan menjalankan kajian bagi memperkukuh daya saing industri sawit Malaysia di peringkat global serta menyokong agenda dekarbonisasi negara.
Katanya, kerjasama antara kedua-dua institusi itu membuktikan komitmen UKM dalam menyokong Pelan Dekarbonisasi Malaysia, Dasar Perubahan Iklim Negara (DPIN) 2.0, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN 2030).
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan MPOB dalam membangunkan data jejak karbon negara bagi sektor kelapa sawit.
“Komitmen ini bukan sahaja menunjukkan bahawa kita bersedia mendepani cabaran perubahan iklim dan peralihan menuju ekonomi rendah karbon, malah menjadi bukti nyata keupayaan UKM dalam melahirkan bakat penyelidik bertaraf dunia dalam bidang kelestarian dan sains iklim, sekali gus memperkukuh ekosistem tadbir urus iklim dan kelestarian negara, “katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara UKM dan MPOB, di Bangi baru-baru ini.
Sufian berharap inisiatif nasional itu akan memberi manfaat besar kepada negara serta komuniti menerusi pembangunan data saintifik yang lebih menyeluruh.
Inisiatif penyelidikan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) itu akan menghasilkan pangkalan data saintifik yang komprehensif mengenai pelepasan gas rumah hijau (GHG) sepanjang rantaian pengeluaran tandan buah segar (TBS).
Data tersebut akan menjadi asas kepada Penilaian Jejak Karbon dan Penilaian Kitar Hayat (LCA) sektor sawit Malaysia mengikut piawaian antarabangsa.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez, berkata sebagai agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi, MPOB komited memastikan industri sawit negara terus mampan, relevan dan berdaya saing di peringkat global selaras dengan keperluan piawaian alam sekitar yang semakin ketat.
Menurut beliau, data yang dikumpulkan melalui penyelidikan bersama itu bukan sahaja penting untuk menilai kitar hayat dan jejak karbon pengeluaran tandan buah segar, malah berpotensi diperluaskan bagi menilai sumber tenaga lain seperti minyak masak terpakai (UCO) dan tandan kosong sawit (TKS) dalam usaha memperkukuh penyelidikan tenaga mampan negara. – UTUSAN










