KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap tujuh pertuduhan meminta dan menerima suapan berkaitan tender projek menaik taraf kemudahan di Pusat Skuasy Nasional bernilai RM8.7 juta, Februari lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Iliyas Jamil, 42, mengaku tidak bersalah selepas kesemua tujuh pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan RM1,005,000 daripada seorang lelaki sebagai upah bersetuju memilih syarikat Aerolux Power Construction Sdn. Bhd. memenangi tender Projek Menaiktaraf Gelanggang & Kemudahan Sukan di Pusat Skuasy Nasional, Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil.
Beliau turut didakwa atas enam pertuduhan menerima wang tunai berjumlah RM450,000 daripada individu sama bagi tujuan serupa iaitu sebagai upah membantu syarikat terbabit memperoleh tender berkenaan.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perbadanan Stadium Malaysia di sini dan sebuah restoran di Bukit Jalil antara 24 Februari dan 13 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noralis Mat memohon mahkamah menetapkan satu jumlah jaminan tinggi terhadap Iliyas mengambil kira kedudukan dan statusnya selain tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Pihak pendakwaan turut memohon agar tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu penyerahan pasport, melapor diri ke pejabat SPRM terdekat dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Peguam bela, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff yang mewakili Iliyas meminta jumlah ikat jamin yang rendah atas alasan anak guamnya yang kini digantung tugas tidak mempunyai sebarang pendapatan selain perlu menanggung seorang anak yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia beserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 27 Julai ini.-UTUSAN










