Cadangan Pendakwa Raya dilantik Agong tanpa campur tangan PM

Cadangan Pendakwa Raya dilantik Agong tanpa campur tangan PM

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelantikan Pendakwa Raya dicadangkan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa penglibatan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri bagi memperkukuh kebebasan institusi berkenaan.

Cadangan itu antara syor utama yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dengan pelantikan dibuat atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penyata yang dibentangkan itu merupakan hasil penelitian komprehensif dan inklusif yang dijalankan jawatankuasa berkenaan.

Katanya, sepanjang tempoh penelitian, jawatankuasa mengadakan tujuh mesyuarat serta menerima pembentangan dan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan setiap aspek reformasi itu diteliti secara menyeluruh.

“Jawatankuasa telah menerima pembentangan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung aspek perlembagaan, perundangan, pentadbiran dan pelaksanaan reformasi ini.

“Selain itu, jawatankuasa turut mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk badan profesional, ahli akademik, pakar perundangan dan organisasi masyarakat sivil,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Parlimen hari ini.

Menurut Azalina, jawatankuasa turut mengesyorkan proses pelantikan yang lebih telus dengan penglibatan Parlimen, di mana nama calon yang dicadangkan akan dimaklumkan kepada Parlimen bagi membolehkan pandangan diberikan kepada SPKP.

Katanya, Pendakwa Raya juga dicadangkan memegang jawatan tetap selama tujuh tahun tanpa pembaharuan atau pelantikan semula bagi mengukuhkan kebebasan institusi tersebut.

“Jawatankuasa mengesyorkan Pendakwa Raya diwajibkan mengemukakan laporan tahunan yang akan dibentangkan di Parlimen bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti institusi.

“Pada masa sama, jawatankuasa mencadangkan penetapan Kod Etika khusus bagi Pendakwa Raya, yang mana pelanggaran kod berkenaan boleh menjadi salah satu alasan untuk penyingkiran daripada jawatan.

Azalina berkata, jawatankuasa turut mencadangkan supaya Parlimen diberi kuasa menggubal undang-undang lanjut berkaitan pelantikan, penyingkiran dan tanggungjawab pelaporan Pendakwa Raya bagi memastikan reformasi itu dapat terus diperkukuh dari semasa ke semasa.

“Secara keseluruhannya, syor-syor yang dikemukakan bertujuan mewujudkan suatu institusi Pendakwa Raya yang bebas, profesional, bertanggungjawab dan diyakini oleh rakyat selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang serta amalan terbaik antarabangsa.

“Penyata yang dibentangkan hari ini akan menjadi asas kepada pertimbangan dan perbahasan Dewan Rakyat dalam langkah seterusnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN