Cadangan kuota BUDI95 petugas media dibawa kepada MOF

Cadangan kuota BUDI95 petugas media dibawa kepada MOF

FUZIAH SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membawa pandangan dan rayuan petugas media berhubung cadangan mengekalkan kuota subsidi petrol Program Budi Madani RON95 (BUDI95) pada kadar 300 liter sebulan kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, kementerian terbabit memahami cabaran dihadapi pengamal media yang perlu melakukan perjalanan kerap bagi melaksanakan tugasan liputan di lapangan.

Katanya, KPDN sentiasa mengambil berat kebajikan dan keperluan golongan media namun sebarang keputusan berkaitan BUDI95 terletak di bawah bidang kuasa MOF.

“Ini pandangan media, jadi bolehlah kita hantar surat dan mengadakan libat urus dengan media. KPDN amat-amat ambil berat berkenaan apa yang media hadapi kerana media perlu banyak bergerak dan melakukan perjalanan untuk menjalankan tugas.

“Bagaimanapun, BUDI95 berada di bawah MOF, jadi saya akan membawa perkara ini kepada kementerian berkenaan untuk pertimbangan lanjut,” katanya  selepas Program Jualan Rahmah Madani di sini hari ini.

Beliau mengulas rayuan Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) yang memohon kerajaan memberikan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar untuk terus menikmati kuota petrol bersubsidi sebanyak 300 liter sebulan seperti sebelum ini.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, cadangan meningkatkan kuota BUDI95 bagi pengamal media akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), dengan sebarang keputusan tertakluk kepada pertimbangan mesyuarat berkenaan. – UITUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN