ALOR GAJAH: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menafikan dakwaan kononnya kepemimpinan Barisan Nasional (BN) Johor telah mengadakan mesyuarat tergempar susulan ramalan gabungan itu hanya mampu memenangi sekitar 30 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi BN berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan menyifatkannya sebagai antara taktik kempen yang dimainkan pihak tertentu bagi mewujudkan persepsi negatif terhadap BN.
“Saya hendak menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang menyatakan barisan tertinggi Barisan Nasional mengadakan mesyuarat tergempar dua hari lalu.
“Saya sendiri merupakan salah seorang Ahli Majlis Tertinggi BN dan saya boleh sahkan memang tiada langsung mesyuarat seperti yang didakwa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan tapak sempena Festival Kendurian di Duta Riang Villa, Selandar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, BN tidak mempunyai sebab untuk mengadakan mesyuarat sedemikian kerana gabungan itu yakin akan memperoleh kemenangan besar pada PRN Johor berdasarkan perkembangan semasa di peringkat akar umbi.
Menurutnya, momentum sokongan terhadap BN, khususnya dalam kalangan pengundi muda, juga dilihat semakin positif sepanjang tempoh berkempen.
“Bagi BN kita positif dengan angka yang telah kita tetapkan dan insya-Allah kita yakin mampu mengekalkan kerusi sedia ada, malah menambah kemenangan pada pilihan raya negeri kali ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menolak dakwaan kononnya UMNO tidak memberi peluang kepada golongan muda apabila parti itu mengetengahkan ramai calon muda pada PRN Johor.
Katanya, daripada Pemuda UMNO sahaja seramai enam calon diketengahkan, manakala keseluruhan calon muda BN berjumlah hampir 13 orang.
“Ini membuktikan UMNO dan BN sentiasa memberi ruang kepada golongan muda untuk memimpin. Malah, kita juga telah memberi peluang kepada pemimpin muda memegang jawatan penting dalam pentadbiran negeri,” katanya.
Mengulas mengenai kesiapsiagaan jentera parti, beliau berkata, Pemuda UMNO berada pada tahap kesiapsiagaan penuh dan bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.
“Sebenarnya kita bukan bersedia hanya apabila pilihan raya diumumkan, tetapi persediaan dilakukan sepanjang masa. Jentera Pemuda ketika ini berada pada tahap 100 peratus bersedia,” katanya. – UTUSAN










