Bersatu tidak halang penyatuan ummah - Armada

Bersatu tidak halang penyatuan ummah – Armada

HARRIS IDAHAM RASHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah menghalang usaha penyatuan ummah, sebaliknya sentiasa akur dan mematuhi keputusan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (MT PN) berhubung kerjasama pilihan raya dengan parti lain.

Oleh itu, dakwaan Ketua Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden bahawa Bersatu menghalang penyatuan ummah dan memilih kepentingan kelompok adalah tidak benar serta tersasar.

Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, Bersatu dan PN komited dalam usaha menyatukan parti-parti politik Melayu.

Katanya, perkara itu adalah seperti dinyatakan menerusi kenyataan media Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas Mesyuarat MT PN pada 16 Mei lalu.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut bersetuju secara prinsip untuk menerima kerjasama pilihan raya bersama parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama dengan PN.

“Bersatu dan PN komited dalam usaha untuk menyatukan parti-parti politik Melayu, buktinya adalah pada kenyataan media Setiausaha Agung Perikatan Nasional yang dikeluarkan sejurus selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada 16 Mei 2026.

“Di bawah tajuk Kerjasama Pilihan Raya, mesyuarat bersetuju secara prinsip untuk menerima kerjasama pilihan raya atau electoral pact bersama parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama dengan Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Afnan pada 9 Jun lalu yang mendakwa Bersatu menghalang penyatuan ummah dan memilih kepentingan kelompok.

Harris berkata, keputusan MT PN itu turut diperkukuhkan menerusi kenyataan Takiyuddin pada 17 Mei lalu yang mengesahkan kerjasama politik tersebut akan diperhalusi melalui penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas.

Katanya, jawatankuasa itu dianggotai wakil parti-parti dalam PN bagi memperincikan terma dan syarat kerjasama yang lengkap serta perlu.

“Susulan daripada itu, pada 17 Mei 2026, Setiausaha Agung Perikatan Nasional sekali lagi mengeluarkan kenyataan media mengesahkan bahawa kerjasama politik ini akan diperhalusi melalui penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas.

“Jawatankuasa itu dianggotai wakil parti-parti dalam PN bagi memperincikan terma dan syaratnya yang lengkap dan perlu,” katanya.

Harris berkata, berdasarkan dua kenyataan media itu, jelas PN serta semua parti komponennya termasuk Bersatu bersetuju untuk berganding bahu dengan parti-parti Melayu lain bagi tujuan penyatuan ummah.

Justeru, beliau berkata, Afnan yang juga ahli Mesyuarat MT PN sepatutnya peka terhadap keputusan yang sudah dibuat dalam mesyuarat gabungan berkenaan.

“Berdasarkan dua kenyataan media ini yang dikeluarkan oleh Takiyuddin Hassan, yang juga merupakan Setiausaha Agung Pas, jelas menunjukkan Perikatan Nasional serta semua parti komponennya termasuk Bersatu bersetuju untuk berganding bahu dengan parti-parti Melayu lain.

“Kerjasama itu dibuat bagi tujuan penyatuan ummah selaras dengan keputusan yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

“Afnan yang juga ahli Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional sepatutnya peka tentang keputusan-keputusan mesyuarat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN