Beban ekonomi akibat kesihatan mental dijangka cecah RM25.3 bilion

Beban ekonomi akibat kesihatan mental dijangka cecah RM25.3 bilion

SUHAIZAN KAIAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kos implikasi dan beban ekonomi akibat masalah kesihatan mental di negara ini dianggarkan mencecah RM25.3 bilion menjelang 2030 sekiranya tiada intervensi berkesan dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen, Suhaizan Kaiat berkata, peningkatan unjuran impak kewangan itu menunjukkan isu kesihatan mental bukan lagi hanya masalah klinikal sebaliknya memberi kesan langsung terhadap produktiviti serta sosioekonomi negara.

“Jawatankuasa dimaklumkan bahawa beban ekonomi masalah kesihatan mental di Malaysia dianggarkan boleh mencecah RM25.3 bilion pada 2030 sekiranya tiada tindakan berkesan diambil.

“Angka ini menunjukkan bahawa kesihatan mental bukan sahaja isu rawatan, tetapi juga isu ekonomi, produktiviti dan masa depan negara yang kita cintai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kenyataan penerangan berhubung Penyata DR.4 2026 mengenai Pengukuhan Sistem Kesihatan Mental di Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.

Suhaizan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, data terkini menunjukkan trend peningkatan kes kemurungan dalam kalangan penduduk dewasa di negara ini pada tahap membimbangkan.

Katanya, golongan kanak-kanak dan remaja turut merekodkan peningkatan kesihatan mental yang membimbangkan bagi tempoh sama.

“Kadar kemurungan dalam kalangan penduduk Malaysia berumur 16 tahun ke atas meningkat daripada 2.3 peratus pada 2019 kepada 4.6 peratus pada 2023, bersamaan kira-kira sejuta penduduk terkesan dengan isu kesihatan mental ini.

“Dalam kalangan kanak-kanak, masalah kesihatan mental meningkat daripada 7.9 peratus kepada 16.5 peratus bagi tempoh sama. Bagi remaja berumur 13 hingga 17 tahun pula, satu daripada empat remaja mengalami kemurungan.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi gambaran tekanan yang sedang dihadapi generasi muda negara kita,” katanya.

Sehubungan itu, Suhaizan berkata, jawatankuasa berkenaan mengemukakan 12 syor strategik menerusi pendekatan menyeluruh bagi merombak sistem sokongan sedia ada yang merangkumi tiga aspek utama pengukuhan.

“Bagi aspek intervensi kritikal dan tindakan segera, keperluan memperluas kapasiti talian bantuan krisis, melaksanakan kempen antistigma secara besar-besaran serta memperketat kawalan terhadap etika pelaporan media,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN