Bayi perlukan mesin oksigen tetap

Bayi perlukan mesin oksigen tetap

MOHD. Latfi Baharom memeriksa tiub mesin oksigen yang digunakan bayinya, Muhammad Luqman semasa ditemui di rumah mertuanya di Kampung Batu 2, Jalan Jeniang, Gurun di Sungai Petani, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen untuk terus bernafas akibat penyakit paru-paru berlubang yang dialami selepas 23 hari dilahirkan.

Buat masa ini, Muhammad Luqman Mohd. Latfi menggunakan mesin oksigen yang dipinjamkan sementara oleh Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), namun perlu memulangkan semula untuk kegunaan pesakit lain.

Bapanya, Mohd. Latfi Baharom, 39, mengakui berdepan kekangan kewangan untuk membeli mesin berkenaan kerana hanya bekerja sebagai pemotong rumput dengan sebuah syarikat pembersihan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, Muhammad Luqman yang dilahirkan secara pramatang ketika usia kandungan 26 minggu akan mengalami sawan jika kekurangan oksigen yang boleh membahayakan keselamatannya.

“Selama ini kami bersyukur kerana pihak HSAH membenarkan kami guna mesin oksigen itu tetapi selepas dimaklumkan ia perlu diserahkan semula untuk kegunaan pesakit lain, saya hilang punca kerana tiada wang untuk beli mesin sendiri.

“Bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya cukup untuk membeli susu, lampin pakai buang dan menampung kos membawanya ke hospital jika dia mengalami komplikasi akibat kesukaran bernafas,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ujarnya, dia tiada pilihan selain membeli sendiri mesin oksigen itu yang akan digunakan anaknya sepanjang masa bagi membantunya bernafas.

“Anak saya dikesan mempunyai paru-paru yang berwarna putih berbanding biasanya berwarna gelap selain difahamkan terdapat banyak lubang yang menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk bernafas se­perti biasa,” katanya.

Mohd. Latfi berkata, selain gaji tidak seberapa, dia kini terpaksa bercuti panjang hingga menjejaskan pendapatan kerana isterinya, Nuruljannah Zulkifly, 27, dimasukkan ke wad akibat terjatuh di rumah mertuanya, tiga hari lalu.

“Diagnosis pihak hospital mendapati dia mengalami masalah pada tulang belakang dan keadaan ini memaksa saya tumpu sepenuh masa menjaga kebajikan bayi kami,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menyumbang ke akaun Bank Islam 02084020502989 atas nama Nuruljannah Zulkifly atau hubungi Mohd. Latfi di talian 014-3274307. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini