Bayi antara empat sekeluarga cedera letupan bom di Selatan Thailand

Bayi antara empat sekeluarga cedera letupan bom di Selatan Thailand

EMPAT sekeluarga cedera apabila pikap dinaiki mereka terkena letupan bom buatan sendiri di Daerah Thung Yang, Pattani, Thailand. - IHSAN ISOC 4
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PATTANI (THAILAND): Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan antara empat sekeluarga yang cedera selepas terkena letupan bom buatan sendiri (IED) dipercayai dipasang untuk menyasarkan pasukan keselamatan dalam  insiden berasingan di Pattani dan Yala, kelmarin.

Dalam kejadian di hadapan sebuah sekolah agama di Ban Khao Din, Mukim Paku, Daerah Thung Yang Daeng, Pattani, sebutir IED yang menggunakan pemasa meletup kira-kira pukul 8 malam.

Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, semasa letupan berlaku, sebuah pikap yang dinaiki empat sekeluarga itu kebetulan melalui lokasi berkenaan sebelum mereka menjadi mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, mangsa yang cedera ialah Sufian Cheh Maeng, isterinya Rafiah Mahama dan dua anak mereka, Samsi Cheh Maeng, 9, serta Abdulrahman Cheh Maeng yang berusia lapan bulan.

“Pasukan keselamatan yang dimaklumkan mengenai kejadian itu segera menghantar bantuan sebelum membawa semua mangsa ke Hospital Daerah Thung Yang Daeng untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan pemisah yang aktif di kawasan itu dipercayai menanam IED di tepi jalan bagi menyasarkan pasukan keselamatan, namun letupan tersebut mengorbankan orang awam.

Dalam perkembangan berasingan, kira-kira tujuh anggota kumpulan pemisah dipercayai menahan sebuah lori kargo sebelum membakarnya di Lebuh Raya 410 Yala-Betong, berhampiran Empangan Bang Lang, Yala, kira-kira pukul 11.30 malam semalam.

Katanya, kumpulan bersenjata itu mengarahkan pemandu dan kelindan lori berkenaan turun sebelum membakar kenderaan tersebut.

“Siasatan pihak berkuasa turut mendapati penyerang menanam sebutir lagi IED tidak jauh dari lokasi kejadian bagi menyasarkan pasukan keselamatan yang datang memberikan bantuan.

“Bagaimanapun, bahan letupan itu berjaya dimusnahkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan bukti forensik serta memburu semua pelaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×