Bank Muamalat lancar MIGLOBE perluas akses pelaburan global

Bank Muamalat lancar MIGLOBE perluas akses pelaburan global

KETUA Pegawai Operasi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Zury Rahimee Zainal Abiden (kiri) bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Muamalat Invest Sdn. Bhd., Khadijah Saerah (kanan) menyempurnakan majlis pelancaran Dana Muamalat-i Global Equity Algorithm (MiGLOBE).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat), melancarkan Muamalat-i Global Equity Algorithm Fund (MIGLOBE) sebuah dana ekuiti global patuh syariah yang inovatif untuk memberikan akses lebih pintar dan dipacu teknologi kepada pelabur untuk melabur di pasaran antarabangsa.

Inisiatif menerusi anak syarikat milik penuhnya, Muamalat Invest Sdn. Bhd. (MISB) itu memperkenalkan strategi pelaburan sistematik berasaskan algoritma dan analitik data bagi membantu pelabur mengharungi pasaran global dengan lebih berdisiplin.

Dana itu menawarkan pendedahan kepada portfolio ekuiti merangkumi pasaran maju dan sedang pesat membangun menerusi satu penyelesaian pelaburan global.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata, MIGLOBE memainkan peranan penting dalam memacu fasa pertumbuhan seterusnya Bank.

“Pengenalan MIGLOBE menzahirkan fokus strategik kami untuk memperkukuh keupayaan pengurusan kekayaan serta meningkatkan Aset di Bawah Pengurusan (AUM) secara mampan.

“Lebih penting lagi, ia mencerminkan komitmen kami untuk menawarkan penyelesaian patuh syariah yang berpandangan ke hadapan, selaras dengan aspirasi kewangan pelanggan yang sentiasa berkembang.

“Dalam meneruskan transformasi kami ke arah menjadi institusi kewangan Islam yang mengutamakan digital, kami memanfaatkan inovasi bagi mencipta nilai jangka panjang dan memperluaskan akses kepada peluang pengurusan kekayaan di peringkat global,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MISB, Khadijah Sairah Ibrahim berkata, pelancaran itu mencerminkan komitmen MISB dalam mentransformasikan cara pelabur runcit mengakses pasaran global.

“MIGLOBE mewakili era baharu pelaburan yang menggabungkan teknologi, disiplin dan prinsip syariah bagi menawarkan penyelesaian pengurusan kekayaan yang lebih pintar.

“Dengan jumlah pelaburan minimum serendah RM500, kami menjadikan pelaburan global lebih inklusif dan mudah diakses, khususnya bagi generasi baharu pelabur yang mencari pertumbuhan jangka panjang melalui pendekatan yang tersusun,” katanya.

Beliau berkata, strategi berasaskan algoritma membantu mengurangkan kecenderungan emosi atau bias tingkah laku yang sering berlaku ketika pasaran mengalami turun naik.

Menurutnya, ia sekali gus memastikan pendekatan pelaburan yang lebih konsisten dan berdisiplin sejajar dengan matlamat jangka panjang.

“Dana ini menggunakan kaedah pembinaan portfolio secara sistematik, disertai pemantauan berterusan dan pengimbangan semula portfolio setiap bulan bagi memastikan ia sentiasa responsif terhadap perubahan keadaan pasaran.

“Pendekatan ini direka untuk meningkatkan pengurusan risiko sambil merebut peluang pelaburan di pasaran global,” ujarnya.

Dengan pelaburan minimum hanya RM500, MIGLOBE disasarkan kepada pelbagai segmen pelabur.

Ini termasuk mereka yang ingin mempelbagaikan pelaburan di peringkat antarabangsa, mengutamakan pendekatan pelaburan yang sistematik dan dipacu data, serta individu yang mencari peluang pelaburan global yang patuh syariah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN