AS sumbang peralatan perubatan perkhidmatan doktor udara - Utusan Malaysia

AS sumbang peralatan perubatan perkhidmatan doktor udara

PAKAR Perubatan CMSE MYS, Jon Anderson (kiri) menunjukkan peralatan perubatan yang disumbangkan kepada JKN Perak untuk Perkhidmatan Doktor Udara di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Amerika Syarikat (AS) menerusi Elemen Sokongan Awam-Tentera di Malaysia (CMSE MYS) menyalurkan sumbangan peralatan perubatan bernilai kira-kira RM124,000 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKN) bagi memperkukuh Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).

Antara peralatan yang disumbangkan termasuk mesin ultrabunyi (ultrasound), kit perubatan serta stesen janakuasa mudah alih dan peralatan diagnostik bagi kegunaan operasi FDS.

Ketua Pasukan Elemen Sokongan Awam-Tentera Malaysia, Kapten James Adam berkata, pihaknya berbesar hati dapat memudah cara penyaluran sumbangan tersebut kepada KKM menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan.

“Kami amat berbesar hati dapat memudah cara penyaluran sumbangan ini bersama rakan kerjasama kami.

“Peralatan-peralatan ini akan digunakan bagi menyokong perkhidmatan kesihatan kepada komuniti yang sukar mendapat akses,” katanya.

Beliau ditemui kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Peralatan Perubatan kepada Perkhidmatan Doktor Udara di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Cawangan Pembangunan Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr. Muthu Chelvan Mathi Arasu, petugas Perkhidmatan Doktor Udara, serta pengurusan kanan Layang Layang Aerospace.

Ujarnya, sumbangan itu dilaksanakan di bawah Program Bantuan Kemanusiaan, Bencana dan Bantuan Awam Luar Negara (OHDACA) kendalian kerajaan Amerika Syarikat.

“Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif sempena sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika Syarikat.

“Ia juga merupakan penyerahan pertama daripada tiga siri sumbangan yang dirancang di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Perkhidmatan Doktor Udara dipilih kerana peranannya yang penting dalam menyediakan akses rawatan kesihatan kepada komuniti di kawasan pedalaman dan sukar diakses.

Katanya, dua lagi penyerahan akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak pada penghujung Julai ini sebagai kesinambungan program berkenaan.

“Walaupun nilai sumbangan ini sekitar AS$30,000, impaknya dijangka jauh lebih besar dalam memperkukuh keupayaan rawatan kritikal kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN