KUALA TERENGGANU: ‘Kekal tenang’.
Demikian catatan ringkas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris dalam laman Facebook beliau, dipercayai merujuk kepada keputusan Pas menghentikan hubungan kerjasama politik dengan Bersatu.
Perkembangan politik semasa itu menyaksikan kedudukan Razali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu menjadi tanda tanya.
Setakat ini, tiada pengumuman rasmi daripada kepemimpinan Kerajaan Negeri Terengganu yang diterajui Pas berhubung kedudukan Razali sebagai Exco.
Semasa pilihan raya negeri (PRN) pada 2023, Razali menjadi giant killer selepas menewaskan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.
Beliau kemudian dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu pada penggal ini. Ia adalah julung wakil Bersatu dilantik ke jawatan itu.
Malam tadi, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan keputusan menghentikan hubungan kerjasama politik dengan Bersatu selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas di ibu negara.
Beliau berkata, Pas mahu meneroka kerjasama politik baharu. – UTUSAN










