Anwar tidak perlu jadi saksi kes saman RM30 juta

Anwar tidak perlu jadi saksi kes saman RM30 juta

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membatalkan sepina agar hadir sebagai saksi dalam kes saman sivil oleh 12 pelabur yang menuntut ganti rugi RM30 juta daripada seorang ahli perniagaan dan isterinya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Muhammad Adam @ Edward Abdullah membenarkan permohonan Anwar untuk membatalkan sepina itu atas alasan plaintif gagal membuktikan bahawa Anwar adalah saksi yang relevan dan material dalam perbicaraan berkenaan.

Plaintif terdiri daripada 10 pelabur dan dua bekas pekerja Datuk Vinod Balachandra Sekhar yang dinamakan sebagai defendan dalam saman yang difailkan sekitar 2023.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah isteri Vinod, Winny Yeap Liew Heoh.

“Tiada tujuan yang bermanfaat dapat dicapai dengan mengarahkan kehadirannya. Tindakan sedemikian akan bersifat menindas dan mengalihkan fokus perbicaraan daripada isu undang-undang sebenar.

“Mereka juga bergantung pada gambar, hantaran media sosial serta acara awam yang membabitkan Anwar dan Vinod,” kata hakim itu.

Tambahnya, bahan-bahan terbabit hanya boleh menunjukkan wujud hubungan atau perkenalan.

“Ia tidak membuktikan pemohon (Anwar) mempunyai pengetahuan peribadi mengenai transaksi yang dipertikaikan dalam pliding. Hubungan tidak semestinya menjadikan seseorang itu saksi yang material.

“Sesiapa saja yang disebut dalam e-mel, dirakam dalam gambar bersama mana-mana pihak atau dirujuk dalam sesuatu perbualan, boleh dipaksa hadir ke mahkamah. Itu bukanlah undang-undang. Perlu diingat prinsip penting bahawa sepina tidak dikeluarkan secara automatik tanpa kawalan.

“Plaintif mendakwa pemohon (Anwar) perlu dipanggil kerana namanya digunakan untuk melakukan penipuan, namun saksi mereka sendiri mengaku tiada bukti bahawa nama beliau digunakan untuk mendapatkan pelaburan atau wang.

“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon untuk mengetepikan sepina berkenaan,” kata mahkamah yang kemudiannya memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Anwar.

Pada prosiding hari ini, peguam, Sanjay Mohan hadir bagi pihak Anwar manakala plaintif diwakili peguam, Colin Andrew Pereira.

Vinod dan Liew Heoh disaman oleh 12 plaintif atas dakwaan salah nyata, penipuan dan pelanggaran kontrak.

Plaintif mendakwa Vinod telah meyakinkan mereka untuk membuat pelaburan secara langsung atau menerusi syarikat-syarikat miliknya tanpa memaklumkan mengenai dakwaan status kebankrapannya.

Mereka juga mendakwa telah membangkitkan kebimbangan melalui satu e-mel bertarikh 30 September 2020.

Vinod didakwa menolak kebimbangan itu dan menyatakan individu bernama ‘Anwar’ akan mengendalikan isu berkenaan, sekali gus memberikan gambaran wujudnya kaitan dengan Anwar, yang dipercayai plaintif merujuk kepada Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN