Anwar gesa pemimpin politik hormati institusi diraja

Anwar gesa pemimpin politik hormati institusi diraja

ANWAR Ibrahim ketika berucap semasaSesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) Alor Gajah, Melaka hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Semua pemimpin politik diingatkan supaya tidak memperbesarkan polemik membabitkan kerajaan dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya mereka perlu mengekalkan kematangan dalam berpolitik dan menghormati institusi diraja.

Kata beliau. perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin politik adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi namun tidak wajar diperbesar sehingga boleh menjejaskan keharmonian serta mengheret institusi raja ke dalam perdebatan politik.

Menurut Anwar, beliau juga telah mengadakan perbincangan yang baik Tunku Ismail dan menegaskan hubungan antara kedua-dua pihak berada dalam keadaan baik serta harmoni.

“Tidak usah panaskan suasana kerana saya ada perbincangan yang sangat baik dengan TMJ. Sangat baik dan bersifat aman jadi kita jalankan tugas masing-masing.

Ini pilihan raya, biarlah ia berlangsung dengan tertib. Jangan kaitkan institusi raja dalam perdebatan politik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama Warga Perkhidmatan Awam Zon Selatan di Dewan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE), di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu ketika berucap pada majlis pengumuman nama calon Pakatan Harapan (PH) di Tangkak, Johor malam kelmarin didakwa mempunyai unsur sindiran terhadap Tunku Ismail.

Sementara itu, ketika berucap dalam majlis berkenaan, Perdana Menteri memuji komitmen dan kecekapan penjawat awam negara ini yang disifatkan sebagai antara faktor utama kejayaan Malaysia melonjak ke tangga ke-15 dunia dalam World Competitiveness Index (WCI) 2026.

Menurutnya, peningkatan lapan anak tangga berbanding kedudukan ke-23 tahun lalu membuktikan keupayaan sistem perkhidmatan awam negara dalam melaksanakan dasar kerajaan secara berkesan dan berintegriti.

Beliau berkata, pencapaian tersebut bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya merupakan kejayaan seluruh jentera pentadbiran yang memainkan peranan penting dalam memastikan dasar dan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan cekap.

“Prestasi kita dalam tempoh tiga setengah tahun ini bukan kerana Anwar menjadi Perdana Menteri semata-mata, tetapi kerana sistem pentadbiran yang baik dan kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh penjawat awam.

“Kecekapan serta mutu perkhidmatan yang diberikan oleh penjawat awam menjadi faktor penting yang menyumbang kepada peningkatan daya saing negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Anwar berkata, kejayaan Malaysia dalam indeks berkenaan turut mendapat perhatian Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov yang memuji pencapaian negara ketika lawatan beliau ke negara Asia Tengah itu baru-baru ini.

Menurut beliau, Presiden Turkmenistan turut menyatakan hasrat untuk menghantar pasukan perkhidmatan awam negara berkenaan bagi mengadakan perbincangan dan bertukar pandangan dengan penjawat awam Malaysia dalam usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran mereka.

“Ini satu pengiktirafan yang membanggakan kerana Malaysia masih dikategorikan sebagai negara sedang membangun, namun berjaya menunjukkan prestasi yang memberangsangkan di peringkat dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN